Foto hiasan
Foto hiasan
Ekhwan Haque Fazlul Haque

Kimanis: Rakyat perlu memilih pemimpin yang bukan hanya 'aktif' dalam tempoh dua minggu ketika berkempen sahaja.

Presiden Kehormat Parti Liberal Demokratik (LDP) Tan Sri Chong Kah Kiat berkata, calon yang dipilih perlu turun padang membantu rakyat untuk tempoh lima tahun.

Menurutnya, kini ada trend calon hanya dilihat ketika tempoh berkempen namun lesap selepas mandat diberikan rakyat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

"Rakyat perlu berubah dan pilih wakil yang ikhlas untuk membantu rakyat sepanjang masa bukan hanya muncul ketika pilihan raya.

"Ada pemimpin yang turun kawasan untuk kempen namun selepas itu hilang dan hanya berada di Kota Kinabalu sehingga pengundi tidak dapat pembelaan sewajarnya," katanya dalam majlis Ceramah Perdana LDP di Kampung Tengah, Bongawan, hari ini.

Turut hadir, calon LDP Bongawan, Mohd Azree Abd Ghani.

Bekas Ketua Menteri Sabah itu berkata, Bongawan perlu mempunyai seorang pemimpin tempatan yang mempunyai visi jangka panjang dan pembangunan yang memerlukan seorang pemimpin berwawasan dan tahu denyut nadi rakyat.

Katanya, rakyat perlu memilih pemimpin dalam kalangan anak tempatan Bongawan kerana dia tahu apa yang diperlukan dan berjuang untuk merealisasikan hasrat rakyat.

"Golongan muda perlu tampil sebagai pemimpin baharu yang membawa perubahan besar dalam politik namun perlu tolak politik wang kerana ini akan merosakkan rasa hormat rakyat kepada pemimpin dan pemimpin kepada rakyat," katanya.

Lagi berita berkaitan PRN Sabah

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 September 2020 @ 5:04 PM