Melvin Joni

Kuching: Jasad mendiang pahlawan negara, Datuk Awang Raweng diberi penghormatan pengebumian negeri dan disemadikan di Makam Pahlawan di sini, esok.

Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Jaul Samion berkata, jasad mendiang kini ditempatkan di Dewan Suarah Kuching untuk diberi penghormatan terakhir oleh orang kenamaan dan awam.

Katanya, jasad terlebih dahulu dibawa dari kediamannya di Sri Aman pagi tadi dan tiba di Dewan Suarah Kuching kira-kira jam 12 tengah hari.

"Ini adalah penghormatan yang diberi oleh kerajaan Sarawak menggunakan peraturan pengebumian negeri dan juga protokol ketenteraan," katanya kepada pemberita ketika hadir menyambut ketibaan jasad mendiang Awang di Dewan Suarah di sini, hari ini.

PENGHORMATAN terakhir kepada mendiang pahlawan negara, Awang Anak Raweng di Dewan Suarah, Kuching. FOTO Nadim Bokhari
PENGHORMATAN terakhir kepada mendiang pahlawan negara, Awang Anak Raweng di Dewan Suarah, Kuching. FOTO Nadim Bokhari

Antara yang hadir memberi penghormatan terakhir ialah Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri James Jemut Masing dan bekas Timbalan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Alfred Jabu Numpang serta kepimpinan tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta veteran tentera.

Awang Raweng meninggal dunia pada usia 104 tahun kira-kira jam jam 2.15 petang Jumaat lalu di kediamannya di Jalan Padri, Sri Aman disebabkan sakit tua.

Mendiang adalah satu-satunya rakyat Malaysia yang menerima pingat George Cross daripada kerajaan British dan diundang setiap dua tahun ke London untuk menghadiri sambutan hari lahir Ratu Elizabeth II.

Selain pingat George Cross, mendiang turut dianugerahkan Panglima Setia Bintang Sarawak oleh Kerajaan Sarawak pada 2018, Pingat Jasa Malaysia 2011 dan terdahulu Queen Elizabeth II Diamond Jubilee Medal 2012, Queen Elizabeth II Golden Jubilee Medal 2002, Queen Elizabeth II Silver Jubilee Medal 1977 dan Queen Elizabeth II Coronation Medal 1953.

Malah, mendiang juga dianugerahkan Ijazah (Kehormat) Sarjana Pengajian Strategik oleh Universiti Pertahanan Nasional Malaysia pada 27 Oktober 2015.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 September 2020 @ 6:17 PM