Gambar fail, petugas kesihatan menjalankan ujian saringan Covid-19. FOTO NSTP.
Gambar fail, petugas kesihatan menjalankan ujian saringan Covid-19. FOTO NSTP.
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Satu lagi kluster baharu direkodkan di Pulau Pinang oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), hari ini.

Dikenali Kluster Ara, ia sudah mencatat dua kes positif Covid-19 dengan kes indeks membabitkan lelaki tempatan berusia 44 tahun.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes indeks kluster itu yakni kes ke-10,024 dikesan positif wabak melalui saringan di Pintu Masuk Antarabangsa (PMA) Sandakan, Sabah pada 15 September lalu.

"Bermakna ia kedatangan kes dari Semenanjung Malaysia dan susulan itu saringan terhadap kontak rapat segera dijalankan.

"Daripada itu, kita mengenal pasti satu kes positif (kes ke-10,217), iaitu anak saudara kepada kes indeks.

"Dia dikesan semalam dan dimasukkan ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, setakat 12 tengah hari, sebanyak 16 individu sudah disaring dan langkah pencegahan jangkitan termasuk proses nyah kuman serta pembersihan dijalankan di lokasi yang berkaitan.

Katanya, punca jangkitan masih dalam siasatan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 September 2020 @ 6:25 PM