KEADAAN kereta yang terkena pencangkuk kren.
KEADAAN kereta yang terkena pencangkuk kren.
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Kereta Proton Saga yang remuk di bahagian bumbung dalam kejadian di Taman Len Seng,Cheras di sini, malam tadi, dipercayai berpunca daripada pencangkuk kren yang melanggarnya.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, polis menerima maklumat mengenai kejadian itu pada 8.30 malam.

Menurutnya, kemalangan itu membabitkan sebuah kereta dipandu lelaki berusia 55 tahun dari arah Cheras dengan sebuah kenderaan dipercayai kren.

"Siasatan mendapati, ketika pemandu kereta belok ke kiri untuk masuk ke Jalan Len Seng dari Cheras, keretanya dilanggar dari belakang oleh kren terbabit.

"Bahagian depan pencangkuk kren itu kemudiannya melanggar bumbung kereta hingga menyebabkan pemandu tersepit di dalam kereta.

"Pemandunya terpaksa dikeluarkan dengan bantuan anggota bomba tetapi tidak cedera," katanya dalam satu kenyataan.

Zulkefly berkata, polis yang menjalankan siasatan di lokasi tidak menemui sebarang serpihan objek di dalam kereta mangsa.

Katanya, pemandu kren itu tidak berhenti di lokasi dan hingga kini tidak membuat laporan mengenainya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Peraturan 3(2)B Kaedah-Kaedah Lalulintas 166/59.

Malam tadi, Harian Metro melaporkan, sebuah kereta dipandu seorang lelaki dipercayai dihempap besi dekat kawasan pembinaan di Taman Len Seng.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 September 2020 @ 7:21 AM