Jemaah Masjid Al Irfan, Derga tidak membenarkan orang luar masuk sesuka hati selepas penularan kubur. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Jemaah Masjid Al Irfan, Derga tidak membenarkan orang luar masuk sesuka hati selepas penularan kubur. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Oleh Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Masjid Al Irfan, Derga di sini, ditutup sepenuhnya daripada orang luar susulan tular mengenai kubur dikatakan mengeluarkan cecair merah seperti darah.

Imam masjid, Abdul Hadi Awang, 55, berkata, hanya jemaah masjid sahaja dibenarkan memasuki kawasan masjid, selaras arahan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran sehingga 25 September.

"Walau ada kematian hari ini, kami hanya membenarkan jemaah dan ahli keluarga terdekat sahaja berada di kawasan tanah perkuburan untuk menguruskan pengebumian.

"Sejak semalam, kami juga mengunjungi pusara berkenaan (yang mengeluarkan cecair merah) dan berdoa semoga rohnya dicucuri rahmat Allah.

"Kes ini sudah selesai dan biarlah polis melakukan siasatan penuh," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Abdul Hadi juga memberitahu tidak mengetahui perkara sebenar yang berlaku hingga timbulnya cecair merah itu dan berharap gambar ataupun video mengenainya tidak disebarkan lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 September 2020 @ 1:51 PM