Radzi ketika melawat SK Sangkabok dekat Kuala Penyu. (Gambar kecil) Nur Husna Rasyidah Ridhwan. Foto Malai Rosmah Tuah
Radzi ketika melawat SK Sangkabok dekat Kuala Penyu. (Gambar kecil) Nur Husna Rasyidah Ridhwan. Foto Malai Rosmah Tuah
Yun Mikail

Kuala Penyu: Kunjungan Menteri Pendidikan Dr Radzi Jidin ke Sekolah Kebangsaan (SK) Sangkabok dekat sini, menjadi detik manis kepada Nur Husna Rasyidah Ridhwan, 8, apabila menerima kejutan sambutan ulang tahun kelahirannya.

Mesra disapa Husna, murid tahun dua berkenaan disapa Radzi sedang meraikan majlis ulang tahunnya pada waktu rehat ketika menteri sedang melakukan lawatan ke setiap kelas di sekolah terbabit.

"Saya terkejut, gembira dan teruja. Tidak sangka menteri sudi menyanyikan lagu ulang tahun untuk saya," katanya ketika ditemui hari ini.

Anak kedua daripada tiga beradik itu berkata, dia membawa kek cawan yang dibuat oleh ibunya sempena hari ulang tahun kelahirannya ke sekolah.

Kek berkenaan dikongsikan bersama rakan sekelasnya sekali gus menarik perhatian Radzi.

Lawatan berkenaan adalah sempena majlis pecah tanah pembinaan semula dan menaik taraf sekolah daif.

Radzi turut melawat beberapa sekolah lain termasuklah SK Palu-Palu, SK Biah Batu 65 dan SK Rancangan Klias.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 September 2020 @ 8:51 PM