Anggota bomba ketika membawa mangsa turun kaki Bukit Apek selepas menemuinya tidak sedarkan diri. Foto Ihsan JBPM
Anggota bomba ketika membawa mangsa turun kaki Bukit Apek selepas menemuinya tidak sedarkan diri. Foto Ihsan JBPM
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Pendaki yang dilaporkan cedera ketika mendaki Bukit Apek, Hulu Langat pagi hari ini, disahkan meninggal dunia sebaik dibawa turun ke lokasi selamat.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Tun Hussein Onn Zafiruddin Mohd Nasir berkata, mayat lelaki berusia 21 tahun itu ditemui anggota bomba yang melakukan operasi mencari dan menyelamat.

Menurutnya, operasi mencari mangsa dimulakan pada 5 petang tadi selepas menerima panggilan kejadian daripada abangnya.

"Pendakian mengambil masa kira-kira 20 minit sebelum menemui mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri berhampiran kawasan pencawang di bukit itu.

"Mangsa kemudiannya dibawa turun ke kaki bukit dan disahkan sudah meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang berada di lokasi," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) dan kes diserah kepada polis untuk tindakan lanjut.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan seorang pendaki cedera ketika mendaki bukit itu.

Difahamkan, lelaki berusia 21 tahun itu menghubungi abangnya untuk memaklumkan keadaannya pagi tadi.

Abangnya berusaha mencari adiknya itu tetapi tidak dapat dikesan lalu menghubungi bomba untuk bantuan pada 4.34 petang.

Berita berkaitan

Pendaki Bukit Apek cedera diselamatkan

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 September 2020 @ 11:16 PM