Laporan portal sebelum ini.
Laporan portal sebelum ini.
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Kenyataan calon Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Mohamaddin Ketapi yang mengaitkan tragedi di Lahad Datu, Sabah pada 2013 sebagai sandiwara turut mengguris perasaan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM dalam kenyataan hari ini berkata, kenyataan itu adalah pendapat politik yang tidak bersandarkan sumber sahih.

"Ia bukan saja tidak bertanggungjawab malah mengguris dan menyinggung perasaan veteran ATM yang pernah berkhidmat semasa insiden itu berlaku.

"Di dalam insiden itu, seorang anggota ATM terkorban ketika mempertahankan kedaulatan dan mustahil ini sandiwara dalam mendepani ancaman berkenaan," katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, semangat patriotisme dan sayangkan negara yang dipamerkan veteran ATM selama ini tidak sepatutnya dipandang remeh oleh ahli politik hanya semata-mata untuk mendapatkan sokongan masyarakat di Sabah.

Justeru, JHEV mengingatkan semua pihak agar tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh membangkitkan kemarahan dan menyinggung perasaan serta menimbulkan suasana tidak harmoni.

Terdahulu, Mohamaddin dilaporkan mendakwa tragedi di Kampung Tanduo, Lahad Datu hanya peperangan bersama 'ayam' dan 'anjing'.

Dalam satu video ucapannya yang tular di media sosial, beliau berkata, pihak berkuasa ketika itu mengerahkan segala kekuatan sedangkan peperangan tidak berlaku.

Bagaimanapun, beliau tampil memohon maaf kepada anggota keselamatan berhubung video mempersenda mereka yang tersebar sebelum ini.

Berita berkaitan

Ia kenyataan tidak bertanggungjawab - ATM

Mohamaddin minta maaf

Jangan hina anggota keselamatan yang terkorban di Tanduo

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 September 2020 @ 11:50 PM