X
MUHAMMAD Ramli menunjukkan kolam yang kosong selepas ikannya terlepas akibat banjir. FOTO Hassan Omar
MUHAMMAD Ramli menunjukkan kolam yang kosong selepas ikannya terlepas akibat banjir. FOTO Hassan Omar
Hassan Omar


Alor Gajah: Beribu-ribu ikan tilapia dan jelawat dari kira-kira 60 kolam terlepas dalam kejadian banjir di Kampung Sungai Buloh, di sini, malam tadi.

Hujan lebat di hulu sungai di Tampin, Negeri Sembilan sejak jam 5.30 petang semalam mengakibatkan air melimpah masuk ke dalam kolam.

Kejadian itu menyebabkan kira-kira 20 pemilik kolam yang keseluruhannya anak jati kampung berkenaan mengalami kerugian berpuluh-puluh ribu ringgit.

Muhammad Ramli Abdul Hamid, 69, berkata, dia terkejut apabila mendapati dua kolam ikan tilapia dan jelawat di hadapan rumahnya dipenuhi air sungai yang melimpah.

"Saya balik dari masjid jam 9 malam tetapi tidak dapat ke rumah kerana jalan antara dua kolam dinaiki air dan saya terpaksa menunggu hingga air surut pada jam 10.30 malam.

"Ada kira-kira 3,000 ikan tilapia merah dan jelawat dalam kolam pertama dan 2,000 ekor lagi dalam kolam kedua dihanyutkan arus sungai yang deras," katanya ketika ditemui hari ini.

Hairuddin Bakar, 47, pula berkata, dia tidak mampu berbuat apa-apa apabila kolam yang dipenuhi 3,000 ikan tilapia merah dan jelawat dimasuki air yang melimpah dari sungai yang hanya kira-kira satu meter dari kolam.

"Hujan lebat mulai jam 5.30 petang menyebabkan kolam ikan saya dimasuki air sungai dan kira-kira jam 8 malam, air sudah penuh dan ikan terlepas keluar," katanya.

Dia berkata, kejadian itu menyebabkannya mengalami kerugian beribu-ribu ringgit berdasarkan ikan tilapia merah yang dijualnya pada harga RM9 sekilogram dan jelawat RM10.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 September 2020 @ 2:47 PM