Noor Hidayah Tanzizi


Manjung: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyita 15,745 kasut, baju, seluar dan jam tangan tiruan di lima premis di sini, menerusi Ops Tiru dan Ops Jeriji, semalam.

Ketua KPDNHEP Manjung, Wan Muhammad Badro Wan Mahmood berkata, rampasan membabitkan barangan bernilai RM226,344 dengan operasi itu turut membabitkan anggota penguat kuasa Majlis Perbandaran Manjung (MPM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Serbuan dilakukan di empat premis perniagaan dan sebuah stor yang saling berkait, membabitkan 10,875 pasang kasut, 3,884 baju, 809 seluar dan 177 unit jam tangan berjenama disyaki tiruan.

"Turut ditahan pemilik stor iaitu lelaki berusia 30-an yang juga bekas kakitangan kerajaan untuk membantu siasatan. Dia bagaimanapun sudah dibebaskan dengan jaminan polis," katanya pada sidang media di Pejabat KPDNHEP Manjung, hari ini.

Wan Muhammad Badro berkata, stor berkenaan menyimpan semua barangan itu dipercayai sudah beroperasi selama tiga tahun dan turut menjalankan perniagaan lain.

WAN Muhammad Badro (tengah) menunjukkan antara barangan berjenama tiruan yang dirampas di sekitar Manjung. FOTO NOOR HIDAYAH TANZIZI.
WAN Muhammad Badro (tengah) menunjukkan antara barangan berjenama tiruan yang dirampas di sekitar Manjung. FOTO NOOR HIDAYAH TANZIZI.

"Mereka juga menjadi pembekal utama di Manjung termasuk kepada empat premis yang diserbu sejak hampir dua tahun lalu," katanya.

Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 102 (1)(c) Akta Cap Dagangan 2019.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 September 2020 @ 6:16 PM