GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Pesakit di bawah siasatan (PUI) Covid-19 boleh keluar mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, 26 September ini, selepas mendapat kebenaran Pejabat Kesihatan Daerah.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, mereka diberi peluang menunaikan tanggungjawab itu mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Bagaimanapun, katanya, individu terbabit hanya diberikan tempoh masa tertentu untuk mengundi.

"Mereka diberikan masa dan ruang untuk mengundi tapi tertakluk kepada pusat mengundi. Kalau dekat tiada masalah, tapi kalau jauh atau perlu menaiki kapal terbang mungkin ada isu.

"Mereka perlu memohon kepada Pejabat Kesihatan Daerah dan kita akan beri izin untuk keluar mengundi mengikut masa ditetapkan. Kalau tak mohon jadi satu kesalahan kerana tidak patuh SOP dan akan dikenakan kompaun," katanya ketika sidang media di Putrajaya, hari ini.

Mengenai pesakit positif Covid-19 yang dirawat di hospital, Dr Noor Hisham berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tetap dengan pendirian untuk tidak membenarkan mereka mengundi.

Beliau berkata, ini berikutan kebolehjangkitan bagi kes positif adalah amat tinggi.

Katanya, jika mahu pesakit itu perlu mengundi dalam hospital maka hospital perlu diwartakan sebagai pusat mengundi terlebih dahulu.

Lagi berita berkaitan PRN Sabah

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 September 2020 @ 7:29 PM