DR JEMILAH menyampaikan ucapan pada Majlis Pelancaran Kempen Penyakit Asthma "Kawal Lelah Sebelum Parah" di Kuala Lumpur. FOTO AIZUDDIN SAAD
DR JEMILAH menyampaikan ucapan pada Majlis Pelancaran Kempen Penyakit Asthma "Kawal Lelah Sebelum Parah" di Kuala Lumpur. FOTO AIZUDDIN SAAD
Rosyahaida Abdullah


Kuala Lumpur: Peranan semua pihak khususnya rakyat adalah perkara utama yang perlu dititikberatkan dalam usaha mengatasi sepenuhnya wabak Covid-19.

Penasihat Khas Kesihatan Awam Kepada Perdana Menteri, Tan Sri Dr Jemilah Mahmood berkata, tabiat dan tingkah laku individu itu sendiri antara masalah yang menyebabkan usaha menghapuskan wabak terbabit menjadi lebih sukar.

Menurut beliau, peranan seperti menegur individu yang didapati sedang menyalahi prosedur operasi standard (SOP) boleh dimainkan rakyat untuk sama-sama melenyapkan Covid-19 di negara ini.

"Kalau tabiat kita tidak betul, itu yang jadi masalah. Daripada segi pencegahan, (jika) kita cuci tangan, gunakan pelitup muka, jaga jarak fizikal, risiko jangkitan sangat berkurangan.

"Kita semua rakyat Malaysia memikul tanggungjawab dan boleh ambil langkah jaga diri sendiri, jaga keluarga, jaga masyarakat, jadi satu negara boleh selamat, InsyaAllah.

"Nasihat saya kepada semua, kita jangan sekadar cakap orang tidak ikut SOP. Kalau nampak sesuatu yang tidak betul, pergilah tegur. Kadang-kala saya sendiri terus cakap jangan buat begini, anda membahayakan diri, keluarga dan orang sekeliling," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Kempen Kawal Lelah Sebelum Parah anjuran Asthma Malaysia di ibu negara, hari ini.

Hadir sama Pengasas Bersama Asthma Malaysia yang juga Pakar Perunding Respiratori, Dr Helmy Haha Mydin.

Mengulas kempen itu, Dr Jemilah berkata, kira-kira 80 peratus pesakit asma terdedah dengan penyakit terbabit disebabkan tingkah laku dan persekitaran.

"Saya mempunyai asma pada zaman kanak-kanak, membesar dengan dikelilingi oleh perokok menyebabkan saya menjadi sangat anti perokok.

"Pakar asma sendiri mengaitkan kadar pencemaran udara yang rendah sewaktu tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lalu menyebabkan serangan asma yang direkodkan ketika itu juga berkurangan," katanya.

Jelas Jemilah lagi, di Malaysia, terdapat hampir dua juta pesakit asma di mana statistik pada 2017 menunjukkan penyakit respiratori adalah punca kematian kedua tertinggi di hospital kerajaan.

"Ini sangat penting untuk kita ambil maklum memandangkan bagi penggunaan alat sedut pelega misalnya, pesakit tidak seharusnya bergantung terus kepada alat itu tanpa mendapatkan rawatan setiap kali diserang asma.

"Lebih-lebih lagi jika penggunaan melebihi dua kali dalam seminggu, usaha untuk menjalani ujian lanjut berhubung tahap asma mereka perlu dibuat," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 September 2020 @ 7:40 PM