ABDUL GHANI ketika sidang media pada pengundian awal di Ibu Pejabat Kontinjen Sabah sempena PRN Sabah 2020. FOTO ASWADI ALIAS
ABDUL GHANI ketika sidang media pada pengundian awal di Ibu Pejabat Kontinjen Sabah sempena PRN Sabah 2020. FOTO ASWADI ALIAS
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kota Kinabalu: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan memperhalusi isu wujud dua kerakyatan dalam kalangan pengundi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Pengerusinya, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, beliau akan bertemu dengan Ahli SPR bagi mendapatkan gambaran jelas mengenai perkara itu.

"Saya sedia maklum mengenai kenyataan itu (pengundi memiliki dua kerakyatan) dan akan mengadakan perbincangan lanjut bersama Ahli SPR.

"Beri saya sedikit masa untuk perhalusi perkara ini dan kenyataan media akan dikeluarkan dalam masa terdekat," katanya kepada NSTP, hari ini.

Hari ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador mendedahkan kumpulan warga asing yang dikatakan akan masuk secara besar-besaran ke Sabah pada PRN kali ini adalah mereka yang mempunyai dua kerakyatan.

Dalam pada itu, SPR juga akan berbincang bagi mengenal pasti langkah yang akan diambil susulan pengumuman Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung pesakit Covid-19 tidak dibenarkan mengundi Sabtu ini.

Keputusan kerajaan itu dibuat kerana tidak mahu penularan semakin bertambah selain akan mewujudkan kluster baharu di negeri ini ketika proses pengundian dijalankan Sabtu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 September 2020 @ 8:07 PM