GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Polis mengesahkan sudah menerima laporan daripada seorang lelaki yang mendakwa dimaki dan ditampar oleh anggota polis ketika ditahan, bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner S Shanmugamoorthy Chinniah berkata, lelaki berusia 39 tahun itu membuat laporan pada 22 Ogos lalu dan tindakan sudah diambil pihaknya.

"Kita memandang serius aduan pengadu dan siasatan secara telus serta terperinci dilaksanakan mengikut Seksyen 384 dan 323 Kanun Keseksaan berdasarkan laporan dibuat.

"Kita juga sudah memaklumkan tindakan yang diambil itu kepada pengadu pada 24 Ogos lalu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Shanmugamoorthy berkata, tidak timbul isu tiada tindakan diambil kerana proses siasatan dalaman terhadap pegawai polis sudah dilaksanakan.

"Siasatan dimuktamadkan pada 17 September lalu dan akan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara dalam tempoh terdekat," katanya.

Katanya, pihaknya memberi jaminan tidak akan bertolak ansur atau berkompromi dalam isu membabitkan integriti anggota polis.

Sebelum ini, lelaki terbabit ditahan anggota polis kerana disyaki mengambil dadah di sebuah hotel di Kepong, kira-kira 1 pagi.

Lelaki itu mendakwa dibawa ke Balai Polis Sentul sebelum dimarahi dan ditampar anggota berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 September 2020 @ 9:11 PM