X
TERTUDUH mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini atas empat pertuduhan salah guna kuasa bagi menyokong pengesahan kerja pembersihan sebuah syarikat. FOTO Ghazali Kori
TERTUDUH mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini atas empat pertuduhan salah guna kuasa bagi menyokong pengesahan kerja pembersihan sebuah syarikat. FOTO Ghazali Kori
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Bekas Penolong Pengarah SME Corp Terengganu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, hari ini, atas empat pertuduhan salah guna kuasa bagi menyokong pengesahan kerja pembersihan sebuah syarikat bernilai RM29,700.

Tertuduh, Halimah Musa Brahim, 42, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dibacakan di hadapan Hakim Jamaludin Mat.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan jawatan untuk mendapatkan suapan bagi menyokong pengesahan kerja untuk kerja pembersihan Pejabat SME Corp Negeri Terengganu oleh Syarikat NDZ Creative Resources.

Tertuduh yang mempunyai kepentingan dengan syarikat berkenaan didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat SME Corp Terengganu di daerah ini antara 1 Oktober 2015 hingga 12 Ogos 2018.

Ia membabitkan keseluruhan nilai kontrak RM29,700 bagi kerja pembersihan bermula September 2015 hingga Julai 2018.

Bagi setiap kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang tinggi jika sabit kesalahan.

Sejurus pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 bagi semua pertuduhan dan menetapkan 1 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Mahkamah turut meletakkan syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan perlu melapor diri pada 1 hari bulan setiap bulan di pejabat SPRM berhampiran sepanjang prosiding.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Hamizah Ghazali manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd Fadhly Yaacob.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 September 2020 @ 7:29 PM