PEGAWAI berkuasa memberi penerangan berkenaan kesalahan dan arahan tindakan pembetulan kepada pengusaha premis makanan semasa pemeriksaan premis dijalankan.FOTO Ihsan JKNK
PEGAWAI berkuasa memberi penerangan berkenaan kesalahan dan arahan tindakan pembetulan kepada pengusaha premis makanan semasa pemeriksaan premis dijalankan.FOTO Ihsan JKNK
Hazira Ahmad Zaidi

Kota Bharu: Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) mengarahkan sembilan premis makanan di sekitar Tanah Merah ditutup serta-merta, hari ini.

Pengarahnya, Datuk Dr Zaini Husin berkata, semua premis berkenaan diarah tutup selama 14 hari mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983 kerana tidak mencapai standard kebersihan ditetapkan.

Beliau berkata, selain itu, 83 notis kehadiran mahkamah turut dikeluarkan kepada pemilik premis dan pengendali makanan di atas pelbagai kesalahan yang melanggar Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 membabitkan nilai kompaun berjumlah RM18,800.

"Daripada jumlah keseluruhan notis dikeluarkan itu, 57 notis adalah kesalahan mengikut Peraturan 32 iaitu berkaitan dengan pakaian pengendali makanan, lima notis dikeluarkan bagi kesalahan mengikut Peraturan 31 berhubungan dengan pengendali makanan tidak menjalani pemeriksaan kesihatan dan pemvaksinan.

"Pada masa sama, empat notis dikeluarkan bagi kesalahan mengikut Peraturan 11 iaitu tidak mematuhi kehendak berhubungan dengan tugas am tuan punya atau penghuni premis makanan, dua notis dikeluarkan mengikut Peraturan 30 iaitu tidak mematuhi kehendak berhubung dengan latihan pengendali makanan.

"Selain itu 14 notis dikeluarkan bagi kesalahan mengikut Peraturan 33 iaitu berhubungan dengan kebersihan pengendali makanan dan satu notis dikeluarkan bagi kesalahan mengikut Peraturan 34 iaitu tidak mematuhi kehendak berhubungan dengan kewajipan untuk mengekalkan premis makanan bersih," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

PETI sejuk beku yang kotor dan tidak teratur.FOTO Ihsan JKNK
PETI sejuk beku yang kotor dan tidak teratur.FOTO Ihsan JKNK

Zaini berkata, pihaknya sentiasa komited dalam memastikan tahap kebersihan premis makanan supaya berada dalam tahap memuaskan bagi memastikan makanan disediakan di premis makanan selamat untuk dimakan.

Beliau berkata, pihaknya peka dan mengambil berat mengenai isu berkaitan keselamatan dan kualiti makanan di negeri ini dalam memastikan tahap kebersihan premis makanan supaya berada dalam tahap memuaskan.

"Operasi Bersepadu Premis Bersih Siri 07/2020 diadakan JKNK melalui Bahagian Keselamatan Dan Kualiti Makanan membabitkan seramai 73 kakitangan dan pemeriksaan dibuat ke atas 66 kedai makan dan restoran di sekitar Tanah Merah.

"Bagi pemilik premis makanan didapati tidak mematuhi elemen penting membabitkan soal kebersihan akan diberi bimbingan supaya mereka dapat meningkatkan tahap kebersihan premis masing-masing selain menjamin keselamatan makanan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 September 2020 @ 8:34 PM