MAZNAH Taiyib (kanan) mengadakan lawatan untuk melihat perkembangan Muhamad Daniel Iskandar Abdullah, 14  yang menghidap kanser tulang di Sempadan Sungai Setar, Nibong Tebal. FOTO ihsan FOCCAN
MAZNAH Taiyib (kanan) mengadakan lawatan untuk melihat perkembangan Muhamad Daniel Iskandar Abdullah, 14 yang menghidap kanser tulang di Sempadan Sungai Setar, Nibong Tebal. FOTO ihsan FOCCAN
Nur Izzati Mohamad


Nibong Tebal: Walaupun sel kanser terus menyerang selepas rawatan sudah ditamatkan, seorang remaja lelaki yang menetap di Sempadan Sungai Setar, di sini, tetap tabah menjalani kehidupan seperti biasa.

Muhamad Daniel Iskandar Abdullah, 14, disahkan menghidap kanser tulang dikenali Ewing Sarcoma pada Ogos 2018 dan kini selepas menjalani rawatan selama dua tahun, masih tidak menunjukkan perubahan positif.

Malah, rawatan susulan dijalaninya sudah ditamatkan termasuk kemoterapi dan radioterapi paras tertinggi, tetapi sel kansernya masih tidak hilang dan kini merebak di bahagian paru-paru.

Pengerusi Persatuan Sahabat Kanak-kanak Kanser Wilayah Utara (FOCCAN), Maznah Taiyib berkata, dia yang berkesempatan melawat remaja itu mendapati Daniel masih kuat menjalani kehidupan walaupun tahu hayatnya sudah semakin berada di penghujung.

"Riak wajah Daniel kelihatan ceria walaupun terlihat rasa kesakitan dialaminya apatah lagi remaja ini berada dalam keadaan kurang sihat.

"Persatuan kami sentiasa mengikuti perkembangan Daniel dan dimaklumkan ibunya mengenai keadaan semasa remaja ini, jadi kami membuat kunjungan bagi memberi semangat disamping menghulurkan bantuan lain.

"Ketika ditanya apa permintaannya, Daniel memberitahu dia hendak makan sahaja kerana dia suka mencuba sesuatu makanan, tetapi keinginannya terhalang kerana penyakitnya itu," katanya ketika berkongsi mengenai kisah remaja lelaki itu kepada NSTP, hari ini.

Menurutnya, persatuan itu bertanggungjawab memastikan kanak-kanak kanser yang berdaftar di bawah naungannya mendapat manfaat hingga akhir hayat mereka.

katanya, bagi kes Daniel, mereka sangat terharu dengan semangatnya untuk melawan kanser dihidapinya walaupun tahu keadaan semasanya.

"Kami berharap Daniel akan cuba bertahan dan pada masa sama mendoakan supaya ada keajaiban untuknya supaya sembuh serta dapat menjalani kehidupan seperti remaja lain termasuk meneruskan pendidikan di sekolah selepas terhenti ekoran penyakitnya.

"Dalam lawatan itu, kami turut menyampaikan sumbangan kepada ibi bapanya, Abd Rahim Yahya, 50, dan Rohani Abdullah, 47, bagi meringankan beban ditanggung mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 September 2020 @ 9:05 PM