MUHYIDDIN (tengah) bersama orang ramai ketika majlis Ramah Mesra di Luyang. FOTO Aswadi Alias
MUHYIDDIN (tengah) bersama orang ramai ketika majlis Ramah Mesra di Luyang. FOTO Aswadi Alias
BERNAMA

Kota Kinabalu: Jadikan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah titik perubahan ke arah Sabah yang lebih baik di masa hadapan, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau yang juga Presiden Bersatu berkata, dalam keadaan ekonomi tidak menentu dan berdepan pandemik Covid-19, Sabah perlukan kerajaan negeri kuat yang mempunyai ikatan dengan Kerajaan Persekutuan.

"Warisan (Parti Warisan Sabah) tak menjadi sebahagian Perikatan Nasional (PN - Kerajaan Persekutuan)… ia tidak berada dalam mana-mana kerajaan kecuali kerajaan negeri.

"Kalau di sini, rakyat Sabah pilih PN bersama Barisan Nasional dan Parti Bersatu Sabah (PBS) dalam Gabungan Rakyat Sabah yang kita tubuhkan, maka terbentuk kerajaan peringkat negeri sama dengan kerajaan Persekutuan.

"Jadi dengan berbuat demikian kita dapat membantu Sabah, kita boleh bekerjasama untuk kebaikan rakyat," katanya ketika berucap pada majlis ramah mesra di Luyang, di sini, malam ini.

Turut hadir Naib Presiden Bersatu Datuk Seri Dr Ronald Kiandee serta calon PN-SAPP untuk Dewan Undangan Negeri (Dun) Luyang Gee Tien Siong dan calon PN-MCA bagi Dun Likas Dr Chang Kee Ying.

Tiba di Sabah selepas mengumumkan Kerangka Inisiatif Tambahan Khas (Kita Prihatin) bernilai RM10 bilion di Putrajaya bagi membantu rakyat yang berhadapan masalah ekonomi disebabkan pandemik Covid-19, Muhyiddin menegaskan ia bukan diumumkan disebabkan PRN Sabah.

"Ini bukan soal Sabah ada pilihan raya, bukan untuk Sabah sahaja, tetapi untuk seluruh negara supaya keadaan akan bertambah lebih baik, hidup mereka ini tidak akan jadi susah dalam keadaan yang memang susah nak cari makan, berniaga pun tak boleh untung, banyak masih rugi.

"Saya tahu, tidak perlu beritahu saya kerana sebagai Perdana Menteri saya tahu apa yang berlaku di negara kita.

"Yang penting apa kerajaan perlu lakukan untuk membantu rakyat kita dan saya rasa kerajaan PN berusaha sedaya upaya membantu rakyat dalam tempoh tujuh bulan ini," katanya.

Beliau menjelaskan bahawa bantuan hari ini diumumkan selepas beliau mendengar rintihan rakyat, walaupun kerajaan sudah pun membelanjakan RM290 bilion sebelum ini di bawah pakej rangsangan ekonomi.

"Saya harap dengan langkah begini, ekonomi negara dan Sabah akan bangkit dalam tempoh tidak berapa lama lagi, pada tahun depan kita akan lihat satu kadar pemulihan yang agak lebih cepat lagi.

"Sebab itu, PRN ini adalah permulaan apa kerajaan mampu buat untuk tempoh akan datang," katanya.

Muhyiddin juga tidak mahu kedatangannya ke Sabah dari Semenanjung disalah anggap rakyat negeri itu sebagai untuk menjajah.

"Bila saya jajah Sabah? Ini muka pun bukan muka penjajah. Kita nak bantu, bukan baharu, sejak zaman berzaman, sejak Sabah menjadi sebahagian daripada Persekutuan… kita bekerjasama dan bekerja serapat mungkin untuk mencari jalan dan cara untuk membangunkan negeri.

"Mungkin kerajaan Sabah sekarang kata kita tidak perlukan kerajaan Persekutuan, kita Sabah boleh melakukannya sendiri, ya okay... tetapi kita mempunyai sistem dipanggil Persekutuan yang kebanyakan perkara dalam Kerajaan Persekutuan bekerjasama supaya negeri-negeri di Malaysia boleh membangun dengan pantas," katanya.

Menekankan berkali-kali kepentingan ikatan antara kerajaan negeri dan Persekutuan, Muhyiddin secara berseloroh berkata, dalam keadaan masalah ekonomi negara sekarang, lebih baik Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berada sebaris dengannya.

"Saya tak nafikan Shafie kawan baik saya… (Mohd Shafie) sudah buat apa yang dia sudah buat untuk Sabah, tetapi lebih baik kalau dia satu baris sama saya, tetapi malam ini dia tak ada sini," katanya.

Lagi berita berkaitan PRN Sabah

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 September 2020 @ 10:45 PM