PASUKAN Bomba dan Penyelamat menjalankan operasi SAR. FOTO Ihsan Bomba
PASUKAN Bomba dan Penyelamat menjalankan operasi SAR. FOTO Ihsan Bomba
Melvin Joni


Kuching: Seorang lelaki warga India dikhuatiri lemas selepas terjatuh dari kapal di Sungai Sarawak, berdekatan Jambatan Isthmus, di sini, hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak dalam kenyataannya berkata, mangsa, Santosh Kumar berusia 23 tahun dilaporkan jatuh dari kapal itu 3.12 petang hari ini.

Katanya, kejadian berlaku ketika kapal terbabit yang membawa enam kru mula bertolak dari jeti Sheng Yang menuju ke Baraj Kuching.

"Lebih kurang 15 minit bertolak, jurumudi kapal menyedari mangsa terjatuh dari kapal.

"Kru kapal kemudian berusaha menyelamatkan mangsa dengan membaling pelampung ke arahnya, namun gagal apabila mangsa terus tenggelam," katanya dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan itu menjelaskan, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa dijalankan 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tabuan Jaya bersama lapan anggota Polis Marin dan empat anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Katanya, SAR membabitkan pencarian di permukaan air serta kaedah grappling iron dalam radius 150 meter dari lokasi mangsa jatuh, namun masih gagal menemui mangsa.

Bagaimanapun, operasi SAR ditangguhkan pada 6.45 petang atas faktor memandangkan kawasan sekitar pencarian mulai gelap.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 September 2020 @ 11:43 PM