MOHD Zuki menyampaikan Anugerah APC APM kepada penerima pada Majlis Anugerah APC dan Sanjungan Budi Lambaian Kasih APM. FOTO Muhaamad Hafis Nawawi
MOHD Zuki menyampaikan Anugerah APC APM kepada penerima pada Majlis Anugerah APC dan Sanjungan Budi Lambaian Kasih APM. FOTO Muhaamad Hafis Nawawi
Muhaamad Hafis Nawawi


Bangi: Kakitangan kerajaan dan agensinya harus bertanggungjawab menunjukkan contoh kepada masyarakat dalam perlaksanaan sesuatu aktiviti yang mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 supaya tidak menjejaskan imej serta kredibiliti kerajaan.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata, ini kerana negara masih berdepan pandemik Covid-19 dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Menurutnya, semua sedia maklum tahun ini amat mencabar kepada negara dan dunia dengan berlakunya penularan Covid-19 menyebabkan banyak program dan atur cara rasmi kerajaan terpaksa ditangguhkan.

"Kita semua sebagai penjawat awam terpaksa bekerja dalam norma baharu.

"Namun, Alhamdulillah pada malam ini kita masih dapat meraikan seramai 20 warga Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan tujuh dari Akademi Latihan Pertahanan Awam (ALPHA) daripada 94 keseluruhannya yang menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah APC dan Sanjungan Budi Lambaian Kasih APM di sebuah hotel di sini, malam tadi.

Hadir sama, ketua Pesuruhjaya APM, Datuk Roslan Wahab dan Timbalan Ketua Kanan Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mohd Sallehhuddin Hassan.

Mohd Zuki berkata, majlis ini juga sebagai penghargaan kepada anggota APM yang berkhidmat sebagai pasukan barisan hadapan.

"Jasa warga APM dalam menangani wabak ini amatlah besar kepada negara," katanya.

Terdahulu seramai 94 orang menerima APC APM 2019 di seluruh negara namun malam ini hanya 27 orang sahaja menerimanya di majlis ini bagi mematuhi SOP Covid-19.

Pada majlis ini Mohd Sallehhuddin turut ditauliahkan Pesuruhjaya Kehormat Pertahanan Awam.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 September 2020 @ 1:00 AM