Danial Saad


Georgetown: Sebanyak 287 kawasan di Pulau Pinang dikenal pasti Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pulau Pinang berpontensi dilanda banjir susulan fasa peralihan monsun bermula hari ini.

Pengarah APM negeri, Leftenan Kolonel Cuthbert John Martin Quadra, berkata, kawasan itu dikenal pasti berdasarkan maklumat diperolehi termasuk pemerhatian pihaknya setiap kali hujan lebat melanda.

Katanya, melalui pecahan dilakukan, daerah Seberang Perai Tengah adalah lokasi paling berpontensi mengalami banjir membabitkan 96 kawasan manakala daerah Timur Laut dan Seberang Perai Utara masing-masing 56 kawasan, diikuti Barat Daya (47 kawasan ) serta Seberang Perai Selatan (33 kawasan ).

"Melihat kepada situasi ini, pihak APM bersiap sedia menghadapi situasi bencana apabila semua anggota di setiap daerah didedahkan berhubung kaedah memindahkan mangsa, pengendalian bot serta pengurusan pusat pemindahan termasuk pemeriksaan aset.

"Selain itu, sebanyak 20 kenderaan darat termasuk 11 lori boleh digerakkan untuk memindahkan mangsa selain kemudahan 28 bot pelbagai model ditempatkan di kawasan 'panas'.

"APM juga mempunyai dua amphious craftt (Sealeg) yang boleh beroperasi di darat dan air selain 14 ambulans," katanya ketika melakukan pemeriksaan aset penyelamat di Pejabat Negeri APM Pulau Pinang, Lorong Ayer Itam di sini, tadi.

Menurutnya, seramai 1,020 pegawai dan anggota APM negeri akan bertugas dan digerakkan di setiap daerah ketika bencana itu berlaku nanti demi memastikan keselamatan orang awam terjaga.

Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pulau Pinang melakukan pemeriksaan aset penyelamat di Pejabat Negeri APM Pulau Pinang, Lorong Ayer Itam di sini, sebagai persiapan menghadapi banjir. FOTO DANIAL SAAD
Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pulau Pinang melakukan pemeriksaan aset penyelamat di Pejabat Negeri APM Pulau Pinang, Lorong Ayer Itam di sini, sebagai persiapan menghadapi banjir. FOTO DANIAL SAAD

Dalam pada itu, Cuthbert berkata , APM menyediakan prosedur operasi standard (SOP) yang sistematik untuk memindahkan mangsa, terutama jika terdapat mangsa yang menjalani proses kuarantin di rumah untuk dibawa ke pusat pemindahan sementara.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan fasa peralihan monsun bermula hari ini dan akan berterusan sehingga awal November.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 September 2020 @ 4:52 PM