HAIDA sedang menyiapkan pokok bongsai hiasan yang menerim tempahan daripada orang ramai dan menjadi sumber rezekinya. FOTO RAMLI IBRAHIM
HAIDA sedang menyiapkan pokok bongsai hiasan yang menerim tempahan daripada orang ramai dan menjadi sumber rezekinya. FOTO RAMLI IBRAHIM
Ramli Ibrahim


Gua Musang: "Kami sudah mampu berdikari dan tidak mahu hidup miskin lagi," kata Haida Abdullah yang pernah tular di media sosial apabila tinggal di pondok usang di Bukit Gajah, Jalan Perindustrian, di sini, tahun lalu.

Haida, 33, berkata dia lima beranak mendapat bantuan rumah daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), kehidupannya banyak berubah.

Katanya, rumah baharunya itu terletak di Kampung Tanah Puteh dan dari situ dia banyak melakukan aktiviti untuk menjana memberi sumber pendapatan.

"Teringat kenangan lalu hidup miskin hingga tiga anak kerap tidak ke sekolah berikutan kemampuan terhad apabila suami, Auseng Ngoh, 35, hanya mengambil upah menoreh getah.

"Kini, saya dan suami dibantu tiga anak iaitu Muhammad Hafiz Haikal, 12, Nur Asyikin, 11, dan Muhammad Syawal Fitri, 7, melakukan pelbagai kerja untuk mencari wang.

"Sejak berpindah ke rumah baharu ini, banyak peralatan termasuk mesin jahit diberikan agensi kerajaan, sekali gus membolehkan saya menjahit tudung wanita hingga menerima banyak tempahan daripada ahli perniagaan di Singapura," katanya.

Menurutnya, peniaga terbabit membuat tempahan sehingga 200 helai dalam sekali tempahan dan dia turut menerima tempahan daripada wanita tempatan.

Menurutnya, dia turut mengambil inisiatif mencipta pokok bunga bonsai hiasan untuk dijual dan mendapat sambutan menggalakkan.

Katanya, usaha dilakukan itu untuk meningkatkan pendapatan dan jika ada wang lebih, mereka dapat membantu insan lain yang hidup susah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 September 2020 @ 5:42 PM