MOHD Shafie. FOTO Arkib NSTP
MOHD Shafie. FOTO Arkib NSTP
Rafiqah Dahali


Kota Kinabalu: Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menasihati rakyat Sabah untuk berhati-hati ketika mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN), Sabtu ini.

Dalam siaran secara langsung di Facebook, Mohd Shafie turut menzahirkan permohonan maaf kepada rakyat negeri itu kerana menyedari risiko penularan Covid-19 pada hari pengundian.

"Dalam kesempatan ini, saya memohon ampun dan maaf kepada seluruh rakyat di Sabah kerana berhadapan dengan PRN yang mana kita bukan hanya berkempen, malah harus mendampingi pengundi di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun).

"Sudah pasti dengan keadaan Covid-19 melanda ketika ini, kemungkinan besar risiko kita dijangkiti adalah besar, namun disebabkan pergolakan politik membabitkan perebutan kuasa bukan hanya berlaku dalam negara kita, malah juga di Sabah.

"Maka dengan itu, kita terpaksa membubarkan Dun agar dengan sistem demokrasi yang ada di negara ini, kita serahkan kepada rakyat dan harus menentukan siapa yang menjadi wakil rakyat bukannya kepada pihak tertentu," katanya.

Dalam siaran langsung terbabit, beliau turut menegaskan PRN kali ini amat penting untuk rakyat Sabah memilih siapa yang harus membentuk kerajaan negeri.

"Maka dengan itu, PRN kali ini cukup penting bagi kita di Sabah untuk memastikan bahawa kita mempunyai kerajaan, kita mempunyai wakil rakyat yang bukan hanya bermaruah tetapi juga berintegriti bagi membolehkan mereka berkhidmat kepada rakyat.

"Saya berharap dalam usaha kita menambat undi yang ada, rakyat (Sabah) diminta berhati-hati dan harus berjaga-jaga agar Covid-19 tidak akan menjangkiti sesiapa khususnya dalam kalangan pengundi.

"Dalam kesempatan ini saya juga ingin memaklumkan agar tunaikanlah tanggungjawab kita sebagai rakyat yang mempunyai hak dalam Perlembagaan Malaysia," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


    Lagi berita berkaitan PRN Sabah

  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 September 2020 @ 11:10 PM