DAUN ketum yang dirampas. FOTO Ihsan PGA
DAUN ketum yang dirampas. FOTO Ihsan PGA
Zuliaty Zulkiffli


Bukit Kayu Hitam: Tindakan beberapa lelaki berkumpul di kawasan pondok di Kampung Kubang Tiga berhampiran Chuping, Perlis dalam keadaan mencurigakan sebelum melarikan diri akhirnya terjawab.

Anggota Batalion 18 Pasukan Gerakan Am (PGA) Pengkalan Hulu, Perak yang melakukan rondaan dalam Ops Benteng (Ops Wawasan Kedah/Perlis), petang semalam menemui 990 kilogram (kg) daun ketum dalam pondok itu yang dipercayai untuk diseludup ke negara jiran.

Pegawai Pemerintah Batalion 18 PGA Pengkalan Hulu, Perak, Superintendan Abd Razak Md Din berkata, anggotanya ternampak beberapa lelaki berkumpul di kawasan itu dalam keadaan mencurigakan pada 6 petang.

Bagaimanapun katanya, semua lelaki itu bertindak melarikan diri ke kawasan kebun getah berhampiran sebaik dihampiri anggota PGA.

"Hasil pemeriksaan di kawasan pondok itu menemui longgokan plastik lutsinar didalamnya terdapat daun hijau disyaki daun ketum. Kesemua daun ketum itu dianggarkan bernilai RM29,700.

"Kita percaya pondok itu digunakan sebagai tempat pengumpulan daun ketum sebelum diseludup ke negara jiran. Hasil pemeriksaan mendapati kesemua bungkusan plastik lutsinar itu mengandungi 31 guni putih dan membawanya ke Balai Polis Padang Besar di Perlis untuk tindakan lanjut," katanya di Martek Briged Utara di sini, hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

"Sebelum ini ada cubaan untuk menyeludup daun ketum ke negara jiran namun anggota kami melakukan rondaan terutama di kawasan lubang tikus sepanjang masa untuk memastikan ia tidak bolos," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 September 2020 @ 11:18 AM