GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Mulai Rabu depan, semua garam halus atau garam beratnya 20 kilogram atau kurang akan diwajibkan menambah iodin sebelum boleh dijual di pasaran Malaysia.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, peraturan baru itu susulan pindaan Peraturan 285 berkaitan Garam Halus Beriodin atau Garam Beriodin di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985 yang diwartakan pada 12 November 2018.

"Pindaan peraturan ini susulan daripada hasil dapatan Tinjauan Gangguan Akibat Kekurangan Iodin (IDD) Kebangsaan yang menunjukkan 48.2 peratus kanak-kanak sekolah rendah berumur lapan hingga 10 tahun mengalami masalah kekurangan iodin.

"Selain itu, 2.1 peratus kanak-kanak mengalami masalah goiter. Bagi tinjauan membabitkan wanita hamil dan murid sekolah, pengambilan iodin juga tidak mencapai paras optimum.

"Oleh itu, pelaksanaan Pengiodinan Secara Universal di Malaysia (USI) dapat membantu meningkatkan pengambilan iodin dalam kalangan masyarakat memandangkan garam adalah bahan asas yang digunakan di semua peringkat lapisan masyarakat tanpa mengira status pendapatan," katanya.

Katanya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) akan menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan kepatuhan peraturan selepas ia dikuatkuasakan bermula 30 September ini.

"Kegagalan mematuhi pindaan Peraturan 285 adalah satu kesalahan dan jika disabit kesalahan pengilang dan penjual boleh dikenakan denda tidak lebih daripada RM10,000 atau penjara selama tempoh tidak lebih daripada dua tahun.

"Sebelum ini peraturan sama dikuatkuasakan di Sabah dan kini diperluas di seluruh negara.

"Penggunaan garam beriodin dalam makanan juga didapati tidak akan menjejaskan dari segi kualiti rasa makanan yang disediakan.

"Pengguna juga diingatkan pengambilan garam tidak perlu ditingkatkan kerana garam secara berlebihan dalam makanan pula boleh menjurus kepada penyakit tidak berjangkit lain misalnya hipertensi (darah tinggi)," katanya.

Orang ramai yang mempunyai kemusykilan mengenai sebarang isu keselamatan dan kualiti makanan, boleh menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau hubungi KKM melalui laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) www.facebook.com/bkkmhq.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 September 2020 @ 11:41 AM