GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pahang menggagalkan cubaan menyeludup 320,000 batang rokok putih dianggarkan bernilai RM213,000 termasuk cukai di muara Kuala Kuantan, awal pagi hari ini.

Pengarah APMM Pahang Laksamana Pertama Maritim Amran Daud berkata, sepasukan anggota APMM yang melakukan rondaan Operasi Makmur mengesan sebuah bot fiber dinaiki dua lelaki dalam keadaan mencurigakan di persisiran pantai menuju ke Sungai Kuantan, kira-kira 2 pagi.

Menurutnya, sejurus bot fiber berkenaan berhenti di tepi tebing, anggota APMM turut melihat sebuah kenderaan disyaki menunggu dua lelaki terbabit untuk mengambil barang.

"Sebaik lelaki berkenaan menyedari kehadiran anggota APMM, mereka terus melarikan diri ke kenderaan," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Katanya, hasil pemeriksaan lanjut di atas bot fiber berkenaan, pihaknya menjumpai 32 kotak merah dan hijau berisi 320,000 batang rokok putih disyaki rokok tidak bercukai.

"Kita percaya rokok yang cuba diseludup ini merupakan rokok bagi pasaran tempatan. Kesemua rokok berkenan dan bot fiber berserta enjin 40hp dibawa ke Ibu Pejabat APMM Pahang untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 September 2020 @ 7:48 PM