GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Telekom Malaysia Berhad (TM) diberikan surat amaran akhir bagi mematuhi Seksyen 1.2 Kod Amalan Am Pengguna (GCC).

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam satu kenyataan berkata, surat amaran itu adalah mengkehendaki pemberi perkhidmatan memberi maklumat yang mencukupi, tepat, benar, terbaru dan dalam bahasa yang mudah serta tanpa berselindung kepada pengguna.

"Berkaitan isu perubahan kelajuan muat naik pakej Unifi 500Mbps, TM diminta memperbetulkan semua bahan promosi dan iklan di semua saluran hebahan serta membuat pelan komunikasi untuk pelanggan yang terjejas.

"TM mestilah pada sepanjang masa mengamalkan cara perniagaan beretika dengan memastikan bahan iklan dan promosi adalah tepat," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kenyataan itu turut menjelaskan, TM diingatkan untuk memastikan pelanggan mereka menikmati kualiti perkhidmatan seperti dalam pakej dilanggan dan memberitahu pelanggan mengenai isu yang mungkin menyebabkan pengalaman penggunaan perkhidmatan mereka terganggu.

"SKMM akan memastikan bahawa hak pelanggan yang terjejas oleh kekeliruan yang timbul akibat perubahan maklumat pakej Unifi 500Mbps ditangani secara adil oleh TM.

"Kegagalan mematuhi arahan-arahan yang dikeluarkan melalui surat amaran akhir ini boleh menyebabkan tindakan diambil di bawah Seksyen 242, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya

jika sabit kesalahan," katanya.

Tambah kenyataan itu, SKMM berharap kejadian ini menjadi peringatan kepada semua syarikat pemberi perkhidmatan agar memastikan kepentingan pengguna terus menjadi asas kepada semua amalan perniagaan.

"Bagi menambah baik perlindungan terhadap pengguna, SKMM kini sedang menyemak semula GCC agar pemberi perkhidmatan lebih prihatin dalam amalan berkaitan pengguna," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 September 2020 @ 8:03 PM