DR Mahathir pada sidang media selepas Majlis Sembang Santai Bersama Pemain Industri Pelancongan di Langkawi. FOTO Hamzah Osman
DR Mahathir pada sidang media selepas Majlis Sembang Santai Bersama Pemain Industri Pelancongan di Langkawi. FOTO Hamzah Osman
Hamzah Osman / 25SEP20


Langkawi: Percubaan mengambil alih kepimpinan negara dengan membeli Ahli Parlimen hanya akan mengakibatkan kerajaan tidak stabil dan pelabur tidak yakin pada Malaysia.

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, keadaan itu turut meremehkan mandat yang diberikan rakyat kepada parti tertentu dalam Pilihan Raya Umum.

"Kita boleh beli dan mendakwa ada majoriti dan jadi kerajaan, kita tidak mengambil berat pemilihan oleh rakyat, malah hari ini kerajaan lain, esok dan lusa lain.

"Perkara ini merosakkan imej negara dan pelabur tidak datang kerana keadaan negara tidak menentu," katanya pada sidang media selepas menyertai Majlis Sembang Santai Pemain Industri Pelancongan di De' Baron Resort di sini, petang tadi.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata, pihak yang mendakwa memiliki majoriti sepatutnya tampil menunjukkan bukti dan tidak hanya cakap kosong.

"Pihak ada majoriti bolehlah jadi kerajaan, tapi ketika ini (pihak itu) belum ditunjuk bukti cuma mendakwa sahaja kata ada majoriti dengan banyaknya.

"(Pada masa sama) ada pihak menafikan memberikan sokongan, keadaan jadi tidak menentu sekarang," katanya.

Beliau berkata, jika Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar memiliki majoriti, beliau perlu buktikan untuk membolehkan langkah seterusnya diputuskan.

Menjawab soalan lain, Dr Mahathir berkata, Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) ketika ini tidak memberikan sokongan kepada Anwar untuk menubuhkan kerajaan.

"Parti Pejuang dia (Anwar) tolak, dia kata dia buat (untuk) semua yang sokong dia, melainkan Dr Mahathir, saya ni ditolak terus tak boleh dengan dia, jadi kita nak sokong macam mana, dia tolak kita awal-awal lagi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 September 2020 @ 8:37 PM