LELAKI lemas dalam parit di Kampung Simpang Lima Darat, Bukit Gambir. FOTO Ahmad Ismail
LELAKI lemas dalam parit di Kampung Simpang Lima Darat, Bukit Gambir. FOTO Ahmad Ismail
Ahmad Ismail


Tangkak: Seorang lelaki lemas dalam parit di Kampung Simpang Lima Darat, Bukit Gambir, di sini, pagi hari ini.

Mangsa, Hamdan Yusof, 47, ditemui 11.10 pagi oleh orang awam sebelum memaklumkan penemuan itu kepada polis.

Ketua Polis Daerah Tangkak Superintendan Mohd Fadhil Minhat berkata, mangsa yang juga buruh ditemui dalam parit itu yang sedalam kira-kira satu meter.

"Siasatan di tempat kejadian mengesyaki mangsa yang menunggang motosikal terbabit kemalangan kendiri sebelum memasuki parit berkenaan.

"Kami mengesyaki mangsa meninggal dunia beberapa jam sebelum laporan polis dibuat," katanya kepada Harian Metro, di sini, hari ini.

Mohd Fadhil berkata, lelaki itu dikatakan tidak pulang ke kediamannya selepas bersarapan sebelum keluarga bersama penduduk mencari mangsa dan menemuinya di dalam parit itu.

Katanya, siasatan turut mendapati mangsa dipercayai dalam perjalanan pulang ke kediamannya di Kampung Simpang Lima Darat sebelum terbabit dengan kemalangan itu di tempat kejadian berhampiran kawasan simpang tiga.

"Mayat dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Tangkak untuk bedah siasat.

"Kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Sementara itu jiran, Mohamed Abd Rahman, 52, berkata, arwah yang masih bujang seorang yang peramah dan ringan tangan membantu penduduk.

"Dia menetap bersendirian sejak kematian ibu bapanya beberapa tahun lalu namun waris terdekatnya tetap mengambil berat kebajikannya.

"Jenazah selamat dikebumikan selepas solat asar di Tanah Wakaf Perkuburan Islam Bukit Gambir," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 September 2020 @ 11:40 PM