Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz mempengerusikan Mesyuarat Menteri-Menteri Kewangan Maya APEC (AVFMM).
Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz mempengerusikan Mesyuarat Menteri-Menteri Kewangan Maya APEC (AVFMM).
Mohammad Asyraf Khalib

Menteri-Menteri Kewangan Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) bertemu secara maya untuk berkongsi idea mengenai intervensi fiskal dan kewangan bagi mengurangkan impak ekonomi akibat pandemik Covid-19 selain membangunkan ekonomi lebih berdaya tahan.

Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz, semalam, dihadiri oleh wakil kementerian kewangan, bank pusat dan pengawal selia kewangan daripada 21 anggota APEC serta organisasi antarabangsa.

"Ketika pandemik mengancam sistem kesihatan dan ekonomi di seluruh dunia, anggota ekonomi APEC bertindak dengan melaksanakan pelbagai langkah untuk mengatasi impak pandemik," katanya dalam ucapan pembukaan Mesyuarat Menteri-Menteri Kewangan Maya APEC (AVFMM).

Tengku Zafrul berkata, APEC landasan yang sangat baik untuk berbincang dan bertukar pandangan mengenai pembangunan ekonomi dan kewangan Asia-Pasifik serta isu sosio-ekonomi nasional dan serantau.

"Harapan saya adalah agar pertemuan hari ini akan mengutarakan pelbagai cadangan dan buah fikiran untuk kita terus menyokong ekonomi masing-masing dalam menangani pandemik Covid-19," katanya.

Image

Perbincangan AVFMM kali ini berteraskan tema Mengoptimumkan Potensi Insan ke arah Masa Depan Kemakmuran Bersama yang Berdaya Tahan: Keterubahan, Keutamaan, Kemajuan yang menggambarkan betapa pentingnya falsafah kemakmuran bersama.

Kesemua anggota APEC bekerjasama sebagai satu gabungan dan akan meneruskan kerjasama ini dengan penuh keikhlasan, secara bersepadu dan komprehensif serta berlandaskan prinsip tanggungjawab bersama.

Dalam mesyuarat sama, barisan perwakilan tertinggi daripada AVFMM turut mengeluarkan Kenyataan Bersama Menteri-Menteri.

Kenyataan bersama itu menggariskan bagaimana APEC secara keseluruhan menangani pandemik Covid-19 melalui langkah fiskal dan kewangan yang bertujuan menyelamatkan nyawa dan mata pencarian masyarakat serta perniagaan di negara masing-masing.

Image

APEC juga menyedari digitalisasi berperanan penting memastikan integrasi dan keterangkuman kewangan serta perlunya ada ketersediaan kewangan melalui pembiayaan dan insurans risiko bencana.

Tengku Zafrul berkata Kenyataan Bersama Menteri-Menteri itu membuktikan semangat kerjasama serantau antara anggota APEC serta berharap kerjasama dan komitmen tetap berterusan antara semua anggota APEC kelak.

"Dalam hal ini, saya ingin mengalu-alukan New Zealand selaku Pengerusi seterusnya bagi Proses Menteri-Menteri Kewangan APEC 2021 yang akan datang. Sebagai tuan rumah tahun ini, Malaysia bersedia untuk menghulurkan bantuan dan sokongan kepada Proses Mesyuarat Menteri-Menteri Kewangan pada tahun hadapan," katanya.

Sebelum mesyuarat AVFMM, Tengku Zafrul juga mempengerusikan Dialog Majlis Penasihat Perniagaan APEC (ABAC), dengan Laporan ABAC 2020 bertajuk Memacu Pemulihan dan Membentuk Semula Perkhidmatan Kewangan Pada Saat Pandemik telah dibentangkan kepada menteri kewangan APEC.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 September 2020 @ 12:02 PM