Doktor Klinik Kesihatan Luyang, Dr Nazahtul Sakinah Yusof, 30 (kanan) membuat persiapan memakai pakaian perlindung diri yang bertugas di tempat pengundian khas bagi pengundi yang mempunyai gejala Covid-19 pada tinjauan perjalanan proses pengundian undi bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Aru di Sekolah Menengah Kebangsaan Sanzac. FOTO ASWADI ALIAS.

Ekhwan Haque Fazlul Haque

Kota Kinabalu: Memakai pakaian pelindung diri (PPE) dalam keadaan cuaca panas tidak menjadi halangan bagi petugas kesihatan demi memastikan kelancaran Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, hari ini.

Dr Nazahtul Sakinah Yusof, 30, berkata, ini adalah pengalaman pertamanya bertugas di khemah khas pada PRN Sabah.

Menurutnya, ini adalah pengorbanan kecilnya bersama rakan setugas lain untuk memastikan amalan demokrasi negara dijalankan dalam suasana norma baharu.

"Kami sudah biasa memakai PPE ini ketika bertugas dan ia bukan menjadi halangan asalkan prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dipatuhi.

"Ini adalah pengorbanan kecil kami kepada negeri dan negara agar amalan demokrasi ini dapat dijalankan dalam keadaan negara masih dilanda Covid-19," katanya ditemui di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sanzac di Sembulan, di sini.

Beliau bersama petugas kesihatan dari Klinik Kesihatan Luyang bertugas sejak jam 6 pagi hingga proses pengundian tamat jam 5 petang ini.

Khemah khas disediakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi membolehkan pengundi yang bergejala menunaikan tanggungjawab.

Dr Nazahtul berkata, beliau melakukan persiapan awal sejak jam 6 pagi dan setakat ini, pengundi yang bergejala disaring sebelum dibenarkan mengundi.

"Ini pengalaman berharga saya sepanjang bergelar doktor yang akan dikenang sepanjang hayat," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

    Lagi berita berkaitan PRN Sabah

  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 September 2020 @ 3:33 PM