Tong gas yang dirampas menerusi serbuan di sebuah stor di Kampung Jenjarom. FOTO IHSAN KPDNHEP Selangor.
Tong gas yang dirampas menerusi serbuan di sebuah stor di Kampung Jenjarom. FOTO IHSAN KPDNHEP Selangor.
Norzamira Che Noh


Kuala Langat: Hasil risikan selama dua minggu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berjaya menumpaskan sindiket penyelewengan gas petroleum cecair (LPG) bernilai RM150,000.

Hasil serbuan di sebuah setor di Kampung Jenjarom dekat ini, semalam, sebanyak 1,709 tong gas petroleum cecair (LPG) 14 kilogram (kg) disita.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Selangor, Aminuddin Muhammad berkata, serbuan pada 8.45 malam itu dilakukan selepas risikan selama dua minggu dijalankan terhadap premis berkenaan.

"Daripada jumlah keseluruhan tong gas yang disita, 712 sudah terisi, 894 tong kosong manakala 103 sedang disambung ke lori tangki untuk proses pengisian cecair gas.

"Nilai rampasan bagi gas LPG yang berjaya diselamatkan adalah RM150,000 dan nilai keseluruhan termasuk kenderaan dan peralatan pemindahan gas LPG dianggarkan bernilai RM374,659.20," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, dalam operasi itu, pihaknya turut menahan dua lelaki tempatan berusia 25 serta 35 tahun dan ketika serbuan dilakukan, proses pemindahan gas masih berlangsung.

Katanya, hasil soal siasat mendapati dua individu berkenaan adalah pekerja teknikal dan pemandu lori yang menghantar bekalan gas LPG ke stor itu.

"Hasil pemeriksaan lanjut menemui mendapati sejumlah 20,000 kg gas LPG sudah dipindahkan dengan hos pemindahan gas masih disambungkan ke lori tangki.

"Sebuah treler yang mampu memuatkan 900 tong gas turut dirampas dan difahamkan sindiket berkenaan mensasarkan pasaran industri terutama kilang dan hotel di sekitar Lembah Klang," katanya.

Aminuddin berkata, KPDNHEP juga sedang mengesan pembekal, pemilik tanah dan kenderaan yang dirampas untuk tindakan seterusnya.

Jelasnya, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Seksyen 44 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 September 2020 @ 3:51 PM