Gambar fail, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. FOTO Bernama.
Gambar fail, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. FOTO Bernama.
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Seramai 115 individu ditahan kerana ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), semalam dengan 111 orang daripadanya dikompaun, manakala empat lagi ditahan reman.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kesalahan paling tinggi dilakukan adalah gagal mematuhi penjarakan fizikal dengan 35 kes dan diikuti keluar rumah tanpa alasan munasabah di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (31).

"Sebanyak 26 kes dokumen perjalanan tamat tempoh, gagal menyediakan peralatan atau merekod butiran diri (17), premis beroperasi tanpa kebenaran (5), dan tidak memakai pelitup muka (1)," katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), hari ini.

Mengenai Ops Benteng, Ismail Sabri berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengadakan 98 sekatan jalan raya di seluruh negara dan menahan 67 Pendatang asing tanpa izin (Pati) selain merampas dua bot serta lima kenderaan darat.

Katanya, keseluruhan 53,695 pemeriksaan diketuai PDRM telah dilaksana, semalam yang membabitkan 12,356 anggota pemantau bagi memastikan pematuhan rakyat terhadap Prosedur Operasi Standard (SOP) PKPP.

"Pemeriksaan di 3,458 pasar raya, 4,302 restoran dan 1,358 penjaja, 1,065 kilang, 3,459 bank dan 630 pejabat kerajaan.

"Turut dipantau 1,196 terminal pengangkutan darat, 186 terminal pengangkutan air dan 149 terminal pengangkutan udara," katanya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) membuat pemantauan harian terhadap 12 jenis barangan di 677 premis perniagaan termasuk 505 daripadanya peruncit, 146 pemborong dan 26 pengilang.

"Bekalan mencukupi dan mampu menampung keperluan dalam negara yang berterusan serta mudah diperoleh. Daripada 1,116 pemeriksaan itu, hanya 22 premis diberi nasihat," katanya.

Menurutnya juga, 35,116 individu pulang dari luar negara sejak 24 Julai hingga semalam, dan ditempatkan di 66 hotel selain sembilan Institut Latihan Awam (ILA).

Seramai 7,903 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib, manakala 103 individu dihantar ke hospital untuk rawatan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 September 2020 @ 3:55 PM