DATUK Seri M Saravanan (berbaju oren) ketika melakukan gimik pelancaran Karnival PenjanaKerjaya Kementerian Sumber Manusia di Pusat Konvensyen Sungai Siput, di sini, hari ini. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
DATUK Seri M Saravanan (berbaju oren) ketika melakukan gimik pelancaran Karnival PenjanaKerjaya Kementerian Sumber Manusia di Pusat Konvensyen Sungai Siput, di sini, hari ini. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Sungai Siput: Kerajaan bercadang meningkatkan taraf dan imej pekerja sektor kawalan keselamatan khususnya di institusi kewangan melalui penyertaan bekas tentera tidak berpencen sekali gus membela kebajikan mereka.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan berkata, ia juga langkah untuk melahirkan peluang pekerjaan kepada golongan itu terutama mereka yang menamatkan perkhidmatan pada awal usia selain pendapatan yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Katanya, banyak negara memperlihatkan kerjaya pengawal keselamatan sebagai kerjaya profesional berbeza di negara ini yang dipelopori warga asing selain sering didominasi golongan pesara yang sudah lanjut usia.

"Kalau boleh saya mahukan institusi seperti bank atau kedai emas melantik pengawal keselamatan berusia 60 tahun ke bawah untuk mengawal keselamatan premis mereka.

"Janganlah orang (sudah) berpencen jadi pengawal keselamatan. (Ia) tak selamat. Nama pun pengawal keselamatan, jadi bukan sahaja kena jaga keselamatan diri sendiri, tetapi juga keselamatan orang awam.

"Perkara ini sedang dibincangkan di peringkat kementerian bersama Ketua Setiausaha kementerian yang seterusnya akan dikemukakan kepada Menteri Pertahanan, suatu masa nanti," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media pada Karnival PenjanaKerjaya Kementerian Sumber Manusia di Pusat Konvensyen Sungai Siput, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia Datuk Jamil Rakon, Pengerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Tan Sri Dr Mohamed Haniffa Abdullah, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air, dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun dan Presiden MIC Tan Sri SA Vigneswaran.

Menurutnya, sejak penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Fasa 1, banyak pengendali syarikat keselamatan tampil meminta kebenaran untuk membawa masuk pekerja asing.

Katanya, ia mungkin sukar kerana keadaan pandemik Covid-19 yang melanda dunia sekarang menyebabkan perlu mendapatkan kelulusan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Selain mahu beri imej baharu kepada pengawal keselamatan di negara ini, kita turut mengharapkan ianya bakal disertakan dengan pelbagai insentif agar pendapatan golongan itu bertambah berbanding sebelumnya.

"Kita perlu lahirkan peluang pekerjaan untuk golongan (bekas) tentera sebegini (yang pernah berjasa besar kepada negara). Jadi kita juga minta untuk 'rebranding' (menjenamakan semula) tugas dan peranan pengawal keselamatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 September 2020 @ 4:16 PM