DATUK Saifuddin (tengah) bersama Zakaria Abdul Hamid  (tiga kiri) dan Ahmad Idham Ahmad Nadzri (tiga kanan) bergambar bersama personaliti You Tube. FOTO Farizul Hafiz Awang
DATUK Saifuddin (tengah) bersama Zakaria Abdul Hamid (tiga kiri) dan Ahmad Idham Ahmad Nadzri (tiga kanan) bergambar bersama personaliti You Tube. FOTO Farizul Hafiz Awang
Asrol Awang


Kuantan: Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) sedia membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung laporan sebuah agensi berita antarabangsa mengenai sebuah syarikat berkaitan ketenteraan dan perisikan di China didakwa mengumpul data 1,400 rakyat Malaysia.

Menterinya, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dan Cyber Security Malaysia (CSM) di bawah kementerian itu boleh membantu dalam melakukan siasatan.

Katanya, apabila pihak berkuasa meminta bantuan, dua agensi itu yang mempunyai pakar akan menyiasat berdasarkan kepakaran dalam bidang masing-masing.

"Apa juga siasatan kita sedia membantu sahaja, tetapi kuasa menyiasat di bawah PDRM. Kalau polis minta bantuan, kita sedia membantu melalui dua agensi iaitu SKMM dan CSM," katanya.

Saifuddin berkata demikian selepas merasmikan Program Bengkel Latihan YouTube Zon Pantai Timur, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Zakaria Abdul Hamid dan Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Dr Ahmad Idham Ahmad Nadzri.

Beliau diminta mengulas mengenai sebuah syarikat yang mempunyai kaitan ketenteraan dan perisikan di China yang didakwa mengumpul data 1,400 rakyat Malaysia.

Berdasarkan laporan, jumlah itu adalah antara data 250,000 individu yang bocor daripada pangkalan data Zhenhua Data, yang menyimpan maklumat 2.4 juta orang.

Baru-baru ini, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dipetik meminta pihak berkuasa menyiasat terlebih dahulu laporan agensi berita antarabangsa terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 September 2020 @ 4:26 PM