MAZLAN Bujang bergambar dengan pemenang Anugerah Ikon Siswa Johor selepas merasmikan Majlis Anugerah Ikon Siswa Johor 2020 di Holiday Villa, Johor Bahru. FOTO Zain Ahmed
MAZLAN Bujang bergambar dengan pemenang Anugerah Ikon Siswa Johor selepas merasmikan Majlis Anugerah Ikon Siswa Johor 2020 di Holiday Villa, Johor Bahru. FOTO Zain Ahmed
Omar Ahmad


Johor Bahru: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) membolot tiga anugerah dalam Anugerah Ikon Siswa Johor 2020 (AISJ 2020) yang berlangsung di sini, hari ini.

UPSI menerima Anugerah Program Terbaik negeri Johor menerusi Program ISMART, dan penuntutnya, Mohammad Nur Aiman Mohd, 22, yang menerima Anugerah Menteri Besar Johor Ikon Siswa serta Anugerah Siswa Johor Terbaik (Akademik).

Mohammad Nur Aiman berkata, kemenangan diperoleh itu hasil dorongan rakan serta pihak pengurusan universiti.

Dia yang berada di semester empat dalam Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Bahasa Melayu berkata, pada mulanya dia tidak berniat untuk menghadiri temu duga bagi kedua-dua anugerah itu kerana berada di Pulau Pinang.

"Namun, atas sokongan rakan serta pihak pengurusan universiti saya hadir dan Alhamdulillah dengan izin Allah saya menerima dua anugerah ini," katanya ketika ditemui selepas majlis berkenaan, hari ini.

Anugerah disampaikan Pengerusi jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya, Mazlan Bujang.

Sementara itu, dalam ucapannya Mazlan berkata, pembabitan mahasiswa dalam persatuan membolehkan golongan itu menyumbangkan idea kreatif, inovatif dan sumber tenaga bagi menjayakan agenda pembangunan masyarakat.

"Usaha kerajaan negeri bagi mengembangkan lagi mahasiswa yang berdaya saing dalam berhadapan cabaran revolusi untuk bertindak selangkah di hadapan berbanding mahasiswa dari negeri lain.

"AISJ adalah pengiktirafan atas usaha mahasiswa bagi memberi motivasi dan mengembangkan bakat mereka untuk menjadi insan yang cemerlang dan berkepimpinan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 September 2020 @ 6:34 PM