Gambar hiasan, ujian saringan Covid-19. FOTO NSTP.
Gambar hiasan, ujian saringan Covid-19. FOTO NSTP.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Sebanyak 82 kes jangkitan baharu Covid-19 direkodkan dalam negara, hari ini dengan 79 kes adalah penularan tempatan yang membabitkan 53 warganegara dan 26 bukan warganegara.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, rekod terbaharu itu menjadikan menjadikan jumlah kumulatif penularan wabak kepada 10,769 kes.

Katanya, hanya tiga kes import yang membabitkan dua warganegara dan seorang warga asing.

"Sabah kekal tertinggi dengan 64 kes daripada kluster Bangau-Bangau, kluster Benteng LD selain tiga kes saringan bergejala, satu kes saringan di pintu masuk, satu kes di Klinik Kesihatan Tawau dan satu kes kemasukan ke Hospital Wanita dan Kanak-kanak Likas.

"Selain itu, Negeri Sembilan mencatatkan tiga kes iaitu dua kes saringan pulang dari Sabah dan satu kes saringan ke luar negara," katanya dalam satu kenyataan.

Dr Noor Hisham berkata, Selangor turut mencatatkan dua kes, Terengganu (2) manakala, masing-masing satu kes bagi Pahang, Melaka, Johor, Sarawak dan Labuan.

Menurutnya, 89 kes pulih yang menjadikan keseluruhan pemulihan kepada 9,785 kes atau 90.7 peratus.

"Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 851 kes dan mereka sudah diasingkan serta diberi rawatan.

"Hingga kini lapan pesakit yang positif masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan empat daripadanya memerlukan bantuan pernafasan," katanya.

Pusat Kesiapiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) tidak menerima laporan kematian setakat 12 tengah hari, menjadikan kematian kekal 133 kes.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 September 2020 @ 6:47 PM