DATUK Seri Syed Hussien Alhabshee menyampaikan anugerah Tokoh Anugerah Khas kepada Muhammad Kasyful Azhim Roslan di Majlis Anugerah Anakku Cemerlang Darul Kifayah 2020 yang diadakan di Dewan Utama Darul Kifayah. FOTO Eizairi Shamsudin
DATUK Seri Syed Hussien Alhabshee menyampaikan anugerah Tokoh Anugerah Khas kepada Muhammad Kasyful Azhim Roslan di Majlis Anugerah Anakku Cemerlang Darul Kifayah 2020 yang diadakan di Dewan Utama Darul Kifayah. FOTO Eizairi Shamsudin
Murnaena Muhammad Nasir


Kuala Lumpur: Pilih kawan yang membawa manfaat dan bukannya memberi masalah kepada diri.

Itu antara rahsia kejayaan pelajar cemerlang yang menerima anugerah atas pencapaian akademik di Darul Kifayah, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Penerima Tokoh Anugerah Khas, Muhammad Kasyful Azhim Roslan, 19, berkata latar belakang daripada keluarga B40 bukan halangan untuk berjaya dalam pelajaran hingga ke menara gading.

"Dulu keluarga kami susah, dan kerana itu saya tekad belajar dengan bersungguh-sungguh demi mengubah taraf kehidupan.

"Alhamdulillah, pendidikan awal di Darul Kifayah banyak memberi motivasi kepada saya untuk menempah kejayaan lebih baik pada Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan A-Level," katanya.

Muhammad Kasyful ditemui ketika penyampaian anugerah Anakku Cemerlang Darul Kifayah 2020 oleh Pengerusi MAIWP Datuk Seri Syed Hussien Alhabshee di Dewan Utama Darul Kifayah, di sini, hari ini.

Seramai 16 pelajar menerima Anugerah Pencapaian Mata Pelajaran Terbaik, tujuh penerima Anugerah Pelajar Terbaik keseluruhan mengikut peringkat dan lima penerima Anugerah Pelajar Terbaik mengikut penilaian peperiksaan.

MUHAMMAD Kasyful Azhim Roslan di Majlis Anugerah Anakku Cemerlang Darul Kifayah 2020 yang diadakan di Dewan Utama Darul Kifayah. FOTO Eizairi Shamsudin
MUHAMMAD Kasyful Azhim Roslan di Majlis Anugerah Anakku Cemerlang Darul Kifayah 2020 yang diadakan di Dewan Utama Darul Kifayah. FOTO Eizairi Shamsudin

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Darul Kifayah Datuk Mohamad S Ahmad, Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP Datuk Akbar Samon, Setiausaha MAIWP Mohd Ajib Ismail dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi) MAIWP Mohd Nizam Yahya.

Muhammad Kasyful berkata, dia kini melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda Sains Kimia di Universiti Wisconsin-Madison, Amerika Syarikat (AS) di bawah tajaan Petronas.

"Saya berharap adik-adik yang masih belajar di Darul Kifayah dapat menjadikan pencapaian ini sebagai contoh untuk meningkatkan prestasi akademik.

"Walaupun latar belakang keluarga susah atau B40, tetapi tidak semestinya seseorang itu tidak boleh berjaya. Apa yang penting adalah kemahuan dan kesungguhan diri untuk berjaya," katanya yang bercita-cita menjadi saintis.

Sementara itu, penerima Anugerah Pelajar Terbaik SPM Darul Kifayah, Muhammad Firdaus Mustapa Kamal, 18, yang memperoleh keputusan 5A dalam peperiksaan itu bersyukur dengan anugerah yang diterima.

"Saya masuk Darul Kifayah ketika di Tingkatan 4 selepas mengetahui inisiatif belajar secara percuma yang ditawarkan.

"Wang saku RM4 setiap hari persekolahan yang diberikan membantu keluarga berjimat untuk kos persekolahan saya dan tujuh adik-beradik yang lain," katanya.

Anak lelaki tunggal dalam keluarga itu berkata, sebelum bersekolah di Darul Kifayah, dia mencari duit poket sendiri sejak berusia 14 tahun dengan bekerja sebagai pekerja katering di Sungai Buloh, Selangor.

"Tidak lama lagi saya akan menyambung pengajian di peringkat diploma dalam bidang akauntan dan akan belajar bersungguh-sungguh untuk membanggakan keluarga.

"Perancangan saya, selepas habis diploma akan bekerja dulu untuk kumpul duit sebelum melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah sarjana muda," kata anak keempat daripada tujuh beradik itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 September 2020 @ 7:47 PM