TAN Sri Muhyiddin Yassin. FOTO Bernama
TAN Sri Muhyiddin Yassin. FOTO Bernama
BERNAMA

Kuala Lumpur: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata selain daripada kesan sosioekonomi akibat pandemik Covid-19, negara anggota Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) perlu terus waspada terhadap kemungkinan ancaman keganasan menjengah semasa dunia dalam tempoh tidak menentu ini.

Beliau berkata dalam keadaan di tengah pandemik ketika ini, komunikasi telus, rangkaian kerja yang baik dan kerjasama risikan yang lebih baik di peringkat negara dan juga antarabangsa adalah penting bagi memerangi keganasan dan radikalisme.

Bercakap dalam Perbahasan Umum sesi ke-75 Perhimpunan Agung Bangsa-bangsa Bersatu (UNGA) di New York, beliau berkata, setiap negara tidak boleh mengabaikan fakta bahawa kumpulan pengganas dapat meningkatkan usaha mereka untuk mengambil peluang daripada keadaan tidak menentu ketika ini untuk memperluaskan agenda mereka.

"Ini adalah perang psikologi yang dilancarkan pada orang-orang yang rentan dan kita mesti memenangkan "hati dan fikiran" untuk mencapai kejayaan. Strategi komunikasi efektif di semua saluran yang ada mesti diutamakan untuk memastikan bahawa sebarang maklumat salah dan silap, dapat diatasi tanpa melanggar undang-undang domestik masing-masing," katanya.

Berhubung akses kepada vaksin Covid-19 pula, Muhyiddin menegaskan bahawa pembuatan vaksin perlu memupuk kolaborasi antarabangsa dan bukannya bersifat persaingan nasionalisme kerana usaha menyelamatkan nyawa harus menjadi keutamaan anggota PBB.

"Kita perlu ingat bahawa Covid-19 tidak mendiskriminasi. Oleh itu kerjasama kita juga seharusnya begitu.

"Pandemik ini sudah meletakkan semua negara dalam keadaan yang 'sama' dan perlumbaan bagi mendapatkan vaksin telah bermula. Sehingga tiba waktu kita temui ubat "anti-viral" yang diperlukan bagi merawat, dan satu vaksin bagi menyekat novel koronavirus (COVID-19) ini, kita tidak boleh mengisytihar sepenuhnya kemenangan dalam memerangi pandemik ini," katanya.

Pada masa sama beliau turut menyuarakan rasa kecewa dengan tindakan PBB yang lambat dalam membantu tindakan negara-negara anggota dalam menangani Covid-19, dengan merujuk kepada situasi beberapa bulan awal penularannya.

Beliau berkata Majlis Keselamatan PBB meluluskan resolusi bagi mendesak supaya menghentikan permusuhan hanya pada 1 Julai, langkah yang membolehkan negara-negara berkaitan mengubah tumpuan sumber masing-masing kepada usaha memerangi pandemik.

"Ini adalah langkah positif, namun kita hanya boleh bayangkan manfaat tindakan itu sekiranya ia diambil lebih awal," katanya, dan menambah bahawa sudah tiba masanya komposisi Majlis Keselamatan menggambarkan keanggotaan semasa PBB.

Muhyiddin merujuk kepada lima kerusi tetap dalam Majlis Keselamatan yang diperuntukkan bagi lima negara pemenang Perang Dunia yang mempunyai hak veto, yang menurutnya bukti bahawa organisasi itu (PBB) perlu direformasi.

"Pastinya tidak akan ada pakatan untuk mengejar satu tujuan bersama, jika satu pihak berpendapat ia lebih berhak membuat keputusan berbanding pihak yang lain. Sejak tahun 1946, veto sudah dilaksanakan lebih dari 200 kali. Tidak ada yang demokratik dalam cara veto digunakan.

"Veto terdedah kepada penyalahgunaan, baik secara ikhlas, hipokrit, atau untuk menegakkan kesalahan. Inilah sebabnya mengapa kita perlu membawa proses reformasi. Hanya dengan Majlis Keselamatan dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang lebih baik, barulah dunia dapat berharap untuk melihat masalah ditangani dengan berkesan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 September 2020 @ 3:19 PM