ANGGOTA polis bersama anggota tentera berkawal di pintu masuk Flat Tongkang Yard, Seberang Perak, Alor Setar yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan diperketatkan (PKPD) Secara Bersasar. FOTO Amran Hamid.
ANGGOTA polis bersama anggota tentera berkawal di pintu masuk Flat Tongkang Yard, Seberang Perak, Alor Setar yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan diperketatkan (PKPD) Secara Bersasar. FOTO Amran Hamid.
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Seramai 523 individu ditahan kerana ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), semalam dengan 483 orang daripadanya dikompaun, manakala 40 lagi ditahan reman.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kesalahan paling tinggi dilakukan adalah aktiviti dalam kelab malam (356), penjarakan fizikal (105), tidak memakai pelitup muka (38), gagal menyediakan peralatan/merekod butiran diri (20) dan tangkapan pendatang asing tanpa izin (4).

Mengenai Ops Benteng, Ismail Sabri berkata, seramai 75 Pati ditahan dan merampas tiga kenderaan.

"Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengadakan 98 sekatan jalan raya di seluruh negara.

"Selain itu, sejak 24 Julai sehingga semalam, seramai 35,991 individu pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan ditempatkan di 67 hotel dan sembilan premis lain," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ismail Sabri berkata, daripada jumlah itu, seramai 8,349 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib, manakala 103 dihantar ke hospital untuk rawatan dan 27,539 dibenarkan pulang.

Dalam perkembangan sama, beliau memberitahu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) membuat pemantauan harian terhadap 12 jenis barangan di 668 premis perniagaan termasuk 479 daripadanya peruncit, 161 pemborong dan 28 pengilang.

"Bekalan mencukupi dan mampu menampung keperluan dalam negara yang berterusan serta mudah diperoleh. Daripada 948 pemeriksaan itu, hanya 15 premis diberi nasihat," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 September 2020 @ 3:24 PM