SHAHRUL Asyraf melayan Safiyya Aisyah yang disahkan menghidap kanser otot sejak tahun lalu. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
SHAHRUL Asyraf melayan Safiyya Aisyah yang disahkan menghidap kanser otot sejak tahun lalu. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


Bagan Serai: Pasangan suami isteri terpaksa berhenti kerja berikutan perlu memberi tumpuan penuh menjaga anak tunggal mereka yang disahkan menghidap kanser otot, tahun lalu.

Shahrul Asyraf Sharuddin, 31, sebelum ini bekerja di restoran makanan segera manakala isterinya, Syamimi Athirah, 28, bekerja kilang di Batu Kawan, Pulau Pinang.

Kedua-duanya sepakat berhenti kerja kira-kira sebulan lalu berikutan perlu menjaga rapi anak mereka, Safiyya Aisyah Shahrul Asyraf, 4, yang terpaksa berulang-alik ke Hospital Pulau Pinang tiga kali sebulan untuk rawatan kemoterapi.

Selain itu, Safiyya Aisyah perlu mengambil ujian darah dua kali sehari di klinik berhampiran dan disebabkan itu mereka terpaksa berhenti kerja.

Mereka kini hanya bergantung pada pendapatan berniaga kuih dan nasi lemak di Pasar Awam Bagan Serai bagi menampung kehidupan dan rawatan anak tunggal mereka.

Shahrul Asyraf berkata, anaknya disahkan menghidapi kanser itu pada usia tiga tahun dan menjalani satu pembedahan membuang ketumbuhan pada paha sebelah kanan.

"Selepas membuang ketumbuhan sebesar bola golf, kini kami mendapati terdapat ketumbuhan lain di pangkal paha dan sejak Ogos lalu, Safiyya Aisyah terpaksa menjalani rawatan kemoterapi sebanyak tiga kali sebulan di Hospital Pulau Pinang.

"Disebabkan keterbatasan waktu bekerja selain dia perlu mengambil darah dua kali sehari, saya dan isteri sepakat berhenti kerja demi menjaganya.

"Kini saya hanya menjual kuih dan nasi lemak di Pasar Awam Bagan Serai dengan purata pendapatan bersih RM50 sehari bagi menampung perbelanjaan harian, kos rawatan termasuk lampin pakai buang dan susu khas diperlukannya," katanya selepas menerima kunjungan Persatuan Kanak-Kanak Kanser Wilayah Utara (FOCCAN) dan Sahabat Parlimen Bagan Serai, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi FOCCAN, Maznah Taiyib dan Pengarah Operasi Parlimen Bagan Serai, Haizulilail Mohamad.

Dalam kunjungan itu, FOCCAN dan Sahabat Parlimen Bagan Serai memberikan bantuan awal seperti wang tunai dan peralatan seperti susu khas dan lampin pakai buang kepada keluarga itu.

Orang ramai yang ingin membantu keluarga berkenaan boleh menghubungi talian 013 9028029 atau sumbangan terus ke akaun Maybank 1582 4852 1779 milik Shahrul Asyraf.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 September 2020 @ 4:04 PM