NOR Diyani (kiri) dan Ahmad Salman ceria selepas menerima anugerah masing-masing. FOTO Malik Muhamad
NOR Diyani (kiri) dan Ahmad Salman ceria selepas menerima anugerah masing-masing. FOTO Malik Muhamad
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Kerap menyertai aktiviti sukarelawan dan kebajikan tanpa upah walaupun terpaksa melakukan pengorbanan tinggi.

Itu rahsia kejayaan Nor Diyani Mohd Yasim, 33, yang meraih Anugerah Perdana Belia Negara bagi kategori individu wanita peringkat negeri Terengganu pada Majlis Sambutan Hari Belia Negara di Duyong, dekat sini, malam tadi.

Ketua Srikandi Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC) daerah dan Terengganu itu berkata, walaupun sebelum ini kerap dipandang serong dan dikritik segelintir masyarakat, ia tidak mematahkan semangatnya untuk terus berbakti kepada masyarakat, negeri dan negara.

"Sepanjang 16 tahun bergiat dalam aktiviti belia di peringkat akar umbi, pelbagai kritikan dan kata-kata tidak sedap didengar diterima daripada segelintir pihak.

"Bukan tidak terasa hati, tapi saya tangani dengan bantuan daripada keluarga yang banyak memberi dorongan sehingga bertahan hingga ke hari ini.

"Anugerah diterima ini adalah pencapaian tertinggi sejak pembabitan saya ketika berumur 17 tahun lagi sehingga membuatkan saya terkejut, namun pada masa sama bersyukur kerana diberi penghargaan," katanya yang bekerja sebagai pembantu tadbir Jabatan Kerja Raya (JKR) Terengganu itu.

Pada majlis itu pemegang Ijazah Sarjana Muda dari Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dalam bidang pengurusan acara itu menerima hadiah wang tunai RM3,000, sijil dan plak yang disampaikan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu, Datuk Yahaya Ali.

Kategori individu lelaki diraih ahli perniagaan, Ahmad Salman Ahmad Suhaimi, 28, dari Kampung Durian Burung yang turut menerima hadiah sama.

"Terima kasih kepada kerajaan negeri, Majlis Belia Negeri Terengganu, Jabatan Belia dan Sukan Negeri serta Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung atas anugerah diterima ini.

"Sejujurnya anugerah ini sebagai satu amanah kepada saya untuk terus membina ruang dan peluang dalam pembangunan belia untuk melahirkan lebih ramai pemimpin baharu dalam persatuan belia," katanya yang pernah mewakili Malaysia dalam Program Kapal Belia Asia Tengah Jepun pada 2016 sebagai duta belia negara.

Kategori Pertubuhan Belia Terbaik Negeri dimenangi Kelab Belia Bersatu Kampung Padang Mengkuang, Marang sekali gus merangkul RM10,000 manakala naib johan disandang Kelab Belia Transformasi Taman Hijrah, Setiu dengan hadiah RM5,000.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 September 2020 @ 4:34 PM