KERETA yang dipandu Ahmad Safwan Salian remuk selepas dilanggar sebuah Proton Perdana dalam kemalangan di Persiaran Tun Teja, Alam Impian petang semalam. FOTO ihsan PDRM
KERETA yang dipandu Ahmad Safwan Salian remuk selepas dilanggar sebuah Proton Perdana dalam kemalangan di Persiaran Tun Teja, Alam Impian petang semalam. FOTO ihsan PDRM
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Seorang jurutera maut manakala isteri serta dua anak selamat dalam kemalangan yang membabitkan dua buah kereta di Persiaran Tun Teja, dekat Alam Impian, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, dalam kejadian pada 3.45 petang itu, mangsa Ahmad Safwan Sulian, 32 yang memandu Perodua Aruz maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah manakala isterinya, Nur Syahirah Ismail, 33, cedera di bahagian kaki kiri.

"Kemalangan itu berlaku apabila kereta Proton Perdana yang dipandu seorang lelaki dari arah Persiaran Panglima Sultan hilang kawalan dan terbabas seterusnya melanggar kereta mangsa yang datang dari arah Plaza Tol Alam Impian.

"Akibat itu Ahmad Safwan maut di tempat kejadian manakala isteri serta dua anaknya iaitu Damia Husna, 5 dan Ahmad Adam Harraz, 3 terselamat dan di bawa ke Hospital Shah Alam untuk mendapatkan rawatan.

"Pemandu Proton Perdana iaitu lelaki berusia 36 tahun yang turut mengalami kecederaan dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) dan kini dirawat di zon merah," katanya.

Beliau berkata, sampel darah lelaki berkenaan sudah diambil dan polis kini masih menunggu keputusan ujian sama ada pemandu itu di bawah pengaruh alkohol atau dadah.

Dalam pada itu, Nur Syahirah ketika ditemui di rumah keluarga Ahmad Safwan memaklumkan ketika kemalangan itu berlaku mereka sekeluarga dalam perjalanan pulang ke rumah selepas arwah memotong rambut di Seksyen 19.

"Kebiasaannya apabila kami berada berdekatan Seksyen 19, kami akan singgah di rumah ibu dan ayahnya tetapi semalam, kami tidak singgah kerana arwah mahu pulang dan mengambil dokumen yang tertinggal.

"Tiada yang pelik pada kelakuan arwah cuma saya perasan yang beliau bersungguh-sungguh menjaga kesihatan ibu dan ayah seperti membuat temujanji mengurut dan bekam untuk mereka," katanya.

Nur Syahirah memaklumkan bahawa beliau dalam keadaan sedar ketika kemalangan itu berlaku dan menurutnya orang awam menyelamatkan dua anaknya serta menariknya keluar dari kereta yang mana suaminya tersepit.

Sementara itu, difahamkan dua anak mangsa kini menjalani rawatan lanjut di Hospital Shah Alam.

Jenazah arwah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 sekitar 11.30 pagi ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 September 2020 @ 5:40 PM