TAN Sri Muhyiddin Yassin. FOTO arkib NSTP
TAN Sri Muhyiddin Yassin. FOTO arkib NSTP
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Rekod pencapaian kerajaan pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam menangani krisis Covid-19 memberi kelebihan berganda kepada kemenangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), malam tadi.

Penganalisis Politik Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, faktor berkenaan diakui berjaya menambat hati pengundi Sabah memilih parti gabungan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN).

"Rakyat Sabah memilih GRS kerana mereka mahu pimpinan yang sehaluan dengan Kerajaan Persekutuan supaya boleh menerima banyak manfaat termasuk bantuan dan pembangunan diperlukan Sabah.

"Kita tidak menafikan sumbangan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dalam membantu rakyat Sabah, tetapi sumbangan kerajaan persekutuan lebih banyak," katanya kepada Harian Metro.

Katanya, kemenangan itu tanda terima kasih rakyat Sabah kepada keprihatinan kerajaan PN membantu rakyat terutama berdepan saat sukar krisis Covid-19.

"Dasar kerajaan khususnya dalam menangani krisis ekonomi rakyat ketika Covid-19, misalnya memperkenalkan moratorium berjaya memberi impak kepada rakyat Sabah terutama golongan B40.

"Selain itu, gaya personaliti Muhyiddin yang lebih dekat dengan masyarakat setiap kali tampil menyampaikan perutusan khas termasuk berdoa di televisyen juga dilihat berjaya menambat hati pengundi Bumiputera Islam.

"Malah, Bumiputera Kadazan Dusun juga akur Sabah perlukan kerajaan lebih stabil untuk membangunkan ekonomi negeri mereka," katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, kemenangan GRS sah bagi membolehkan parti gabungan PN itu membentuk kerajaan negeri.

"Kemenangan mereka sah tiada masalah kerana mana-mana negara demokrasi mengamalkan pemerintahan yang mendapat sokongan majoriti ahli dewan undangan negeri (Adun)," katanya.

Sementara itu, penganalisis politik Universiti Sains Malaysia, Prof Dr Sivamurugan Pandian berkata, populariti Muhyiddin memainkan peranan dalam kemenangan GRS.

"Poster beliau digunakan di banyak tempat termasuk di luar bandar hingga dapat menyaingi populariti Ketua Menteri Sabah (Mohd Shafie).

"Kalau kita tengok faktor calon amat penting di beberapa kawasan berbanding parti, walaupun GRS mempunyai dua tiga calon bersaing di kawasan sama, tetapi pengundi seolah-olah sudah membuat pilihan ke atas calon yang mereka rasa boleh mewakili suara rakyat.

"Berbanding Warisan pula, mereka terlalu bergantung kepada personaliti Mohd Shafie sedangkan GRS mempertaruhkan ramai calon berkaliber. Selain itu, isu mengenai Pas Sementara Sabah dan pendatang asing tanpa izin mungkin turut mempengaruhi keputusan PRN," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


    Lagi berita berkaitan PRN Sabah

  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 September 2020 @ 5:51 PM