Siti Rohana Idris


Kota Bharu: Seorang anggota Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) berdepan detik cemas apabila diseret sejauh 100 meter (m) oleh pacuan empat roda sehingga melanggar tiang papan tanda di Kampung Lubok Stol, Rantau Panjang, dekat sini.

Dalam kejadian 4 pagi Jumaat lalu, pemandu kenderaan dipercayai penyeludup bertindak ganas selepas anggota berpangkat Konstabel itu mahu membuat pemeriksaan.

Ketua Polis Kelantan, Deputi Komisioner Shafien Mamat berkata, sebelum kejadian, mangsa dan seorang lagi anggota mengesan dua pacuan empat roda di Kampung Limau Purut dipandu dalam keadaan mencurigakan sebelum mengekori mereka.

"Kedua-dua pacuan empat roda itu berhenti di bahu jalan dan mangsa menghampiri kenderaan itu untuk membuat pemeriksaan sebelum pemandunya bertindak agresif dan cuba melanggar anggota terbabit.

"Mangsa sempat berpaut di tiang pintu kenderaan sebelah pemandu dan diseret sejauh 100 m menghala ke Lubok Stol dan melanggar tiang papan tanda yang menyebabkan mangsa terjatuh," katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini, hari ini.

Shafien berkata, dalam usaha mempertahankan diri dan mengelakkan kecederaan parah, mangsa berusia 30 tahun melepaskan dua das tembakan ke arah tayar kenderaan itu untuk memberhentikannya.

Katanya, mangsa yang luka pada siku, lebam di paha kanan serta calar di kelopak mata kanan menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Pasir Mas.

"Pacuan empat roda terbabit turut mrempuh kenderaan dinaiki seorang lagi anggota PGA7 di lokasi awal sebelum berjaya meloloskan diri.

"Bagaimanapun, anggota kami berjaya mengesan Isuzu Trooper yang digunakan suspek di Felda Kemahang, Tanah Merah, dekat sini, 10 malam tadi.

"Tiga suspek berusia 26, 40 dan 45 tahun ditahan dalam tangkapan berasingan pada malam hari kejadian dan tengah hari tadi," katanya.

SHAFEIN Mamat (kiri) menunjukkan kesan rempuhan kereta milik anggota PGA yang dilanggar oleh kereta penyeludup semasa menjalankan tugas. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
SHAFEIN Mamat (kiri) menunjukkan kesan rempuhan kereta milik anggota PGA yang dilanggar oleh kereta penyeludup semasa menjalankan tugas. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Menurutnya, saringan ujian air kencing mendapati seorang daripada mereka positif heroin dan memiliki rekod jenayah berkaitan dadah termasuk seorang suspek lain.

Katanya, pihak polis mengesan dua individu dikenali sebagai Mohd Hafiz, 22, dan Mohd Tarmizi, 37, dipercayai terbabit dalam kegiatan penyeludupan minyak masak dan tepung gandum untuk siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 307 dan Seksyen 279 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 September 2020 @ 6:24 PM