GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
BERNAMA

Kota Kinabalu: Pengundi mengambil masa sembilan jam 30 minit untuk memilih 73 wakil rakyat mereka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah berakhir kelmarin, namun teka-teki siapa Ketua Menteri baharu masih belum terjawab selepas 24 jam.

Kira-kira 1.12 juta pengundi menunaikan hak memilih wakil rakyat mereka dan kini tiba giliran Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang berjaya mengambil alih tampuk pemerintahan negeri pula melaksanakan tanggungjawabnya berdasarkan mandat diberikan rakyat.

Gabungan yang terdiri daripada Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) itu memperoleh 38 kerusi, lebih satu kerusi daripada majoriti mudah yang diperlukan iaitu 37 kerusi bagi membentuk kerajaan baharu.

Warisan Plus, yang terdiri daripada Parti Warisan Sabah (Warisan), DAP, PKR dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) pula mendapat 32 kerusi manakala Bebas memenangi tiga kerusi.

Pengerusi PN Sabah Datuk Seri Hajiji Mohd Noor, Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin, Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (Star) Datuk Dr Jeffrey Kitingan dan Setiausaha Agung PBS Datuk Jahid Jahim dibenarkan menghadap Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin di Istana Negeri di sini pada kira-kira 3 petang, hari ini.

Sejurus selepas itu, Bung Moktar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lamag berkata, Tun Juhar meminta tempoh untuk menentukan siapa yang akan dilantik sebagai Ketua Menteri Sabah yang baharu.

Ditanya masa yang akan diambil untuk membuat keputusan itu, Bung Moktar berkata, "secepat mungkin."

Terdahulu, keempat-empat pemimpin mengadakan pertemuan di sebuah hotel sebelum bergerak ke istana dan meneruskan mesyuarat di hotel sama selepas kembali dari istana.

Keputusan tidak rasmi menyatakan gabungan itu mendapat jumlah yang mencukupi untuk membentuk gabungan diketahui pada kira-kira 9 malam semalam, namun keputusan rasmi hanya diumumkan dua jam kemudian.

Kem GRS dilihat ceria meraikan kemenangan itu namun keadaan adalah berbeza di kem Warisan Plus semalam.

Pagi ini, rakyat Sabah diselubungi kebingungan selepas tular di media sosial bahawa PBS yang memperoleh tujuh kerusi didakwa beralih arah dan bertindak menyertai Warisan Plus untuk membentuk kerajaan negeri yang baharu.

Berbekalkan tujuh kerusi, PBS berupaya menjadi penentu kuasa dan menyaksikan mana-mana gabungan parti politik yang disertainya boleh membentuk kerajaan.

GRS akan hanya memiliki 31 kerusi jika PBS keluar daripada gabungan itu manakala Warisan Plus, yang mempunyai 32 kerusi, akan menguasai 39 kerusi jika ia disertai PBS.

Ketua Penerangan PBS Datuk Joniston Bangkuai menjelaskan kekeliruan itu apabila mengeluarkan kenyataan yang menafikan dakwaan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 September 2020 @ 7:07 PM