PROF Madya Dr Hafidzi (kiri) diiringi Kamarul Zaman Shaharul Anwar (kanan) bergambar bersama penyumbang ketika majlis minum petang sempena ulangtahun ke-10 MyCARE di Kuala Lumpur. FOTO Hairul Anuar Rahim
PROF Madya Dr Hafidzi (kiri) diiringi Kamarul Zaman Shaharul Anwar (kanan) bergambar bersama penyumbang ketika majlis minum petang sempena ulangtahun ke-10 MyCARE di Kuala Lumpur. FOTO Hairul Anuar Rahim
Murnaena Muhammad Nasir


Kuala Lumpur: Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) mensasarkan kutipan sebanyak RM2 juta untuk disalurkan kepada rakyat Palestin dan Syria sempena musim sejuk yang bakal melanda kawasan berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kamarul Zaman Shaharul Anwar berkata, Bantuan Musim Sejuk MyCARE 2020 berbentuk sumbangan infrastruktur, pek makanan, alat pemanas dan baju sejuk termasuk bantuan Covid-19 itu akan disalurkan hujung tahun ini.

"Tahun lalu kita berjaya kumpul dana RM2 juta dan tahun ini kami sasarkan jumlah sama dapat diagihkan di dua negara berkenaan.

"Keperluan bantuan harian sangat mendesak disebabkan mereka tidak boleh keluar daripada kem penempatan berikutan sekatan pergerakan," katanya ketika ditemui di Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-10 MyCARE di The Vertical, Bangsar South City, di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, katanya, MyCARE sudah menyumbang RM141 juta kepada 22 negara hasil sumbangan orang ramai.

"Walaupun berdepan pandemik Covid-19, MyCARE akan terus aktif menyalurkan bantuan di kawasan bergolak, bencana alam dan konflik politik di seluruh dunia.

"Kita menyedari kesukaran mengumpul dana ekoran kesan pandemik ini, namun saya menyeru rakyat Malaysia untuk membantu saudara Islam kita di Gaza dan Syria," katanya.

Orang ramai yang mahu menyumbang boleh memberi sumbangan melalui akaun Maybank 551575004299, CIMB Islamic 8602135592 atau Bank Islam 12092010034904.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 September 2020 @ 7:44 PM