ANGGOTA APMM menyiasat bot nelayan yang menggunakan peralatan tidak dilesenkan. FOTO Ihsan APMM.
ANGGOTA APMM menyiasat bot nelayan yang menggunakan peralatan tidak dilesenkan. FOTO Ihsan APMM.
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Kerana menggunakan peralatan menangkap hasil laut yang tidak dibenarkan, tiga nelayan tempatan ditahan di 2.1 batu nautika dari timur Pulau Jerejak, di sini.

Mereka yang berusia 48 hingga 53 tahun itu ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia sempena Op Benteng pada 6 petang semalam.

Pengarah APMM Pulau Pinang, Kepten Maritim Hamizan Harun berkata, pemeriksaan mendapati nelayan berkenaan menggunakan penangguk kerang dan siput lala yang tidak dilesenkan.

"Mereka disiasat kerana melanggar syarat lesen mengikut Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, APMM tidak akan berkompromi dengan pihak yang melanggar perundangan negara dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat supaya menyalurkannya ke talian 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi APMM Pulau Pinang di 04-2626146 atau 04-264 3650.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 September 2020 @ 10:50 AM