DUA pasangan yang ditahan kerana disyaki berkhalwat. FOTO Ihsan JAIK.
DUA pasangan yang ditahan kerana disyaki berkhalwat. FOTO Ihsan JAIK.
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Beri alasan rakan mahu menghantar makanan, namun ada sepasang lagi rakan yang bersama-samanya di dalam bilik.

Tindakan lelaki itu bagaimanapun gagal meyakinkan penguat kuasa agama yang kemudian menahannya bersama semua rakannya iaitu seorang lelaki dan dua wanita termasuk isteri orang dalam serbuan di sebuah bilik sewa di Jalan Tambang Badak di sini, tengah malam tadi.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK), Syeikh Radzi Abdul Mutalib berkata, mereka yang berusia antara 18 hingga 20 tahun ditahan pada 12.45 tengah malam.

"Lelaki itu menyewa bilik berkenaan dan mendakwa rakannya hanya datang untuk menghantar makanan.

"Semua mereka bagaimanapun tiada sebarang hubungan mahram dan kehadiran yang menimbulkan syak khalwat, maka perlu ditahan.

"Seorang daripada wanita itu masih berstatus isteri orang dan mempunyai anak lelaki berusia enam bulan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Syeikh Radzi berkata, semua mereka berasal dari Pendang, Kuala Nerang dan Alor Setar bekerja di kedai makan, kedai emas dan berniaga di pasar malam.

Katanya, mereka diberi notis hadir ke pejabat agama pada 14 Oktober untuk siasatan mengikut Seksyen 25 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 September 2020 @ 12:00 PM