PETUGAS KKM menjalankan ujian calitan kepada penumpang dari Sabah yang tiba di lapangan terbang, semalam. FOTO Ihsan FB KKM.
PETUGAS KKM menjalankan ujian calitan kepada penumpang dari Sabah yang tiba di lapangan terbang, semalam. FOTO Ihsan FB KKM.
Samadi Ahmad


Putrajaya: Antara 10 ke 15 minit diperlukan untuk melakukan ujian calitan bagi saringan Covid-19 terhadap seorang individu yang tiba di pintu masuk negara, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan klia2, Sepang.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, tempoh itu ditetapkan selepas pihaknya menambah hampir 400 petugas kesihatan bagi tujuan berkenaan di pintu masuk domestik dan antarabangsa.

Katanya, tambahan itu juga bagi menampung ketibaan mereka dari Sabah khususnya yang terbabit dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.

Menurutnya, kelewatan menjalani prosedur wajib itu sebelum ini kerana jumlah ketibaan dari Sabah yang ramai, termasuk petugas PRN.

"(Mengikut prosedur) Individu yang didapati positif Covid-19 akan dihantar terus ke hospital, manakala mereka yang negatif tetapi ada kontek dengan pesakit diwajibkan menjalani pengawasan dan pemerhatian di rumah (HSO) serta memakai gelang," katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan Seminar Jururawat Kanser Payudara Malaysia Ke-7 di Institut Kanser Negara di sini, hari ini yang turut dihadiri Pengarah Institut Kanser Negara, Dr Mohd Anis Haron dan Timbalan Pengarah Hospital Putrajaya, Dr Siv Azhar Merican Abdullah.

Terdahulu, Dr Noor Hisham berkata, beliau sempat melakukan tinjauan di KLIA, hari ini untuk meninjau proses kelancaran ujian saringan Covid-19 yang didakwa mengambil masa lama sehingga enam jam, semalam.

Katanya, pihaknya sangat berharap dengan tambahan petugas kesihatan dari Selangor, Perak dan Kuala Lumpur itu akan dapat melicinkan proses dengan tempoh dua jam bagi pemeriksaan ke atas semua penumpang sebuah pesawat tiba.

"Individu yang menjalani ujian calitan ini akan memperoleh keputusan antara 24 hingga 72 jam dan saringan ke atas pengembara dari Sabah akan dilaksana selama dua minggu," katanya.

Beliau memberitahu, pihaknya akan memperketatkan prosedur ujian saringan sekiranya jumlah individu positif dari Sabah meningkat.

Bermula semalam hingga 10 Oktober, semua individu tiba dari Sabah diwajibkan menjalani ujian saringan Covid-19, yang menyebabkan ada antaranya memaklumkan terpaksa menunggu sehingga enam jam untuk prosedur itu, semalam.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 September 2020 @ 12:59 PM